Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mustapa: Tiada layanan istimewa buat firma China
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 1:23 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mempertahankan dasar pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diberikan kepada firma Cina yang terbabit dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star, memetik Mustapa sebagai berkata kerajaan tidak memberi sebarang layanan istimewa apabila memberi pelepasan cukai kepada China Communications Construction Company (CCCC), kerana banyak lagi projek kerajaan juga menikmati faedah sama.

Namun, menteri Umno itu tidak menghuraikan dan membekalkan contoh-contoh projek kerajaan lain yang diberikan pelepasan cukai GST.

Sebaliknya, beliau berkata bahawa dakwaan layanan istimewa itu dibuat untuk mengelirukan orang ramai.

"Sebenarnya, beberapa projek kerajaan juga diberikan pelepasan GST.

"Adalah menjadi dasar kerajaan bahawa projek-projek tertentu diberikan pelepasan GST, bukan hanya projek dari China," katanya yang dipetik dalam satu sidang akhbar.

Isnin lalu, Naib Presiden AMANAH Husam Musa mendedahkan dokumen yang menunjukkan CCC diberikan pelepasan GST, termasuk sijil yang menyatakan langkah itu diberikan di bawah Seksyen 56 (3) (a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Ini kemudian disahkan oleh Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy, yang berkata langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kos pelaksanaan ECRL.

Lihat Komen
ADS