Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS tanding 160 kerusi sebab nak masuk Malaysia Book of Records'
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 2:02 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Bekas naib presiden PAS yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyindir parti lamanya yang ingin bertanding di 160 daripada 222 kerusi parlimen.

“Jadi, dalam keadaan ini tidaklah menghairankan apabila jumlah kerusi sentiasa diubah-ubah walaupun sampai ke tahap yang tak munasabah walaupun sudah layak untuk dimasukkan ke Malaysia Book of Records,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mahfuz juga berkata, pengumuman PAS itu merupakan rekod penting dalam politik negara kerana menjadi parti yang bertanding paling banyak kerusi dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia.

"Umno selaku parti terbesar di Malaysia dari segi keahlian dan cawangan serta menjadi parti tunggal yang paling ramai ahlinya menjadi ahli dewan rakyat, hanya bertanding sekitar 121 kerusi sahaja dalam pilihan raya umum yang lalu," kata Mahfuz lagi.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya itu Mahfuz membangkitkan persoalan sama ada jumlah kerusi berkenaan muktamad atau sebaliknya kerana beliau mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering memberi kenyataan yang "bertukar-tukar".

Katanya, sebelum ini PAS ada mengeluarkan kenyataan untuk bertanding 150 kerusi Parlimen namun semalam, Hadi mengumumkan 160 kawasan pula. 

"Saya tak pasti sama ada ini adalah muktamad kerana PAS, terutamanya presiden PAS sendiri acapkali bertukar-tukar sikap dan sentiasa mengubah sasaran dan jangkaan terutama dari aspek kerusi yang hendak ditandingi.

"Tidak lama dulu PAS nyatakan hendak kekal bertanding semua kerusi PAS sebelum ini iaitu sekitar 80 kerusi. Kemudian jadi 100, 120 dan 130 kerusi.

"Kemudian beberapa hari lepas setiausaha agung PAS mengatakan PAS akan bertanding 150 kerusi. Dan beberapa hari yang lepas Presiden PAS tiba-tiba mengisytiharkan akan bertanding 160 kerusi.

"Bila sentiasa mengubah-ubah jumlah kerusi yang nak ditanding ini menunjukkan betapa berceramuknya percaturan PAS," katanya lagi.

Hadi semalam mengumumkan PAS bersama Gagasan Sejahtera akan meletakkan calon di 160 kerusi. 

Jumlah kerusi parlimen ketika ini ialah 222.

Selain itu, penyandang parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan dari mana wang akan diperolehi PAS sekiranya parti berkenaan bertanding 160 kerusi Parlimen memandangkang wang deposit calon dan bahan kempen boleh mencecah jutaan ringgit.

"Jika benar PAS hendak bertanding 160 kerusi Parlimen, maka untuk deposit calon dan bahan kempen sahaja sudah mencecah RM2.4 juta iaitu dengan mengambil kira deposit sebanyak RM15 ribu untuk sebuah kerusi Parlimen.

"Manakala untuk belanja pilihan raya sahaja katakan sekurang-kurangnya sebanyak RM100 ribu bagi sesebuah kerusi (had perbelanjaan yang ditetapkan akta pilihan raya ialah sebanyak RM200 ribu).

"Maka secara keseluruhan yang diperlukan ialah paling kurang sebanyak RM18.4 juta dan jika perbelanjaan pilihan raya PAS mencapai had maksima yang di tetapkan SPR sebanyak RM200 ribu maka perbelanjaan untuk 160 kerusi Parlimen akan mencecah RM34.40 juta," kata Mahfuz lagi.

Sehubungan itu, Mahfuz mendakwa beliau menganggap bahawa 'permainan' di sebalik bertanding 160 kerusi parlimen bertujuan untuk memecahkan undi HARAPAN bagi memberi kedudukan selesa kepada BN untuk terus berkuasa.

Lihat Komen
ADS