Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH tuntut tarik balik larangan, TM jawab 'berkecuali'
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 6:05 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

BERSIH 2.0 menuntut Kumpulan TM menarik balik garis panduan melarang pekerjanya untuk menjadi agen mengundi dan agen pengiraan undi (Paca) pada pilihan raya umum ke-14.

Gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu berkata, TM dan semua majikan harus sedar bahawa hak seorang rakyat Malaysia lebih daripada mengundi pada 9 Mei 2018 depan.

“Seseorang itu tidak seharusnya dihalang untuk melibatkan diri dalam proses pilihan raya seperti menjadi Paca selagi pekerja-pekerja mereka berbuat demikian di luar masa pekerjaan mereka atau semasa cuti mereka.

“Ini adalah hak individu sebagai rakyat dan tiada apa-apa dalam undang-undang Malaysia yang melarang tindakan sedemikian,” menurut BERSIH.

Malaysiakini hari ini melaporkan TM mengeluarkan arahan melarang kakitangannya daripada menjadi Paca pada pilihan raya umum kali ini.

Larangan itu dinyatakan dalam 'Garis Panduan Pilihan Raya Umum ke-14' yang dikeluarkan pengurusan TM pada 11 April lalu dan dihantar menerusi e-mel kepada semua kakitangannya, termasuk anak syarikat.

Malaysiakini memperoleh salinan garis panduan itu.


Baca: TM larang kakitangan terlibat kempen, jadi agen pilihan raya


Dalam kenyataan di Facebook, BERSIH berkata TM dan majikan lain sepatutnya mendorong pekerjanya menjadi Paca agar integriti pilihan raya itu dapat dipelihara.

“Penyertaan dalam pilihan raya rasa tidak dihadkan dengan membuang undi,” kata BERSIH.

TM: Rujuk Bahagian Modal Insan

Sementara itu, menjawab soalan Malaysiakini petang ini, TM berkata sebagai entiti korporat, mereka sentiasa mengambil kedudukan berkecuali mengenai hal ehwal politik.

TM berkata mereka tidak pernah menyekat sebarang aktiviti peribadi kakitangan termasuklah penglibatan dalam politik di luar waktu pejabat selagi tidak melanggar Nilai-nilai Teras dan dasar Kod Etika Tatakelakuan dan tatacara syarikat.

“Bagaimanapun, kakitangan tidak dibenarkan membabitkan nama serta jenama syarikat dalam apa jua cara apabila ianya melibatkan perihal aktiviti dan sokongan politik mereka.

“Sebagai contohnya, kakitangan TM tidak dibenarkan memakai pakaian yang memaparkan sebarang logo jenama Kumpulan TM yang boleh mengaitkan mereka sebagai anggota Kumpulan TM semasa menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut,” katanya.

Menurut TM lagi, berdasarkan kod etika mereka, kakitangan yang berhasrat menglibatkan diri dalam aktiviti politik hendaklah merujuk kepada Bahagian Modal Insan Kumpulan “bagi memastikan pematuhan sepenuhnya dengan undang-undang terpakai”.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyentuh berkaitan penglibatan pekerjanya dalam Paca, seperti soalan diajukan padanya.

Melalui e-emel, Malaysiakini bertanya sama ada sekatan TM itu menyekat kebebasan pekerja, khususnya dalam larangan menjadi agen pilihan raya di tempat mengundi serta bertindak untuk calon pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS