PRU14 l Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebuah institusi penting yang mengawal-selia pembangunan ekonomi bumiputera, mungkin tidak akan menikmati “sayang” BN yang sama daripada DAP, kata Perdana Menteri Sementara , Datuk Seri Najib Razak.

“Yang mewujudkan PNB dan yang mana PNB dekat di hati kerajaan adalah kerajaan BN.

“Sebelah sana, ada makhluk-makhluk dalam DAP, belum tahu lagi mereka sayang kepada PNB macam BN sayang,” katanya kepada kira-kira 2,000 hadirin ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Batu Pahat, hari ini.

Najib berkata beliau percaya "Bangsa Johor" akan memahami perkara ini.

“Saya tahu orang Johor faham perkara ini. Bangsa Johor faham perkara ini.

“Bermula perjuangan kita untuk bebaskan negara kita, menegakkan kerajaan yang ada ini di negeri Johor. Jangan sia-siakan perjaungan kita,” katanya.

Najib juga memuji PNB kerana pembabitannya dengan pembangunan hartanah di United Kingdom (UK) - pembangunan semula stesen tenaga Battersea.

“Kalau dulu ekonomi Malaysia dikuasai penjajah, hari ini kita mampu jadi pelabur terbesar di UK. Ini kejayaan,” katanya.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Najib berkata selain kecekapan pengurusannya, faktor kejayaan PNB juga berkait rapat dengan pembangunan ekonomi negara yang dibawa kerajaan.

“Dasar pragmatik (kerajaan), dasar yang memacu (pertumbuhan),” katanya.

Najib turut mengucapkan penghargaannya kepada PNB atas pembayaran dividen sebanyak tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit untuk tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017.

PNB juga mengumumkan Bonus Khas Ulang Tahun Permodalan Nasional Bhd (PNB) ke-40 sebanyak satu sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit bagi ASB untuk tahun kewangan itu.

Jumlah pengagihan sebanyak RM10.7 bilion akan dimanfaatkan oleh 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih 145.6 bilion unit dalam ASB.