Malaysiakini
BERITA

'DAP nak derma pun kami terima'

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Apr 2018, 7:17 pagi

PAS tidak memiliki penaja tetapi sentiasa terbuka untuk menerima sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak, kata Bendahari Agung PAS Razman Zakaria.

"PAS terima berapa saja jumlah (bantuan) daripada masyarakat...Daripada orang perseorangan, taikun atau parti politik.

"PAS mengalu-alukan sumbangan bukan saja daripada Umno, kami juga terima daripada DAP jika mereka ingin menyumbang," katanya yang juga yang dipertua PAS Perak dalam hantaran di Facebook hari ini.

Namun, kata Razman, ia tidak menjadikan PAS sesekali menggadaikan prinsip yang diperjuangkan dan menggantikannya dengan agenda penyumbang.

"PAS bukan khadam kepada penyumbang, tetapi tegas dengan prinsip Islam," katanya yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol pada PRU ke-14.

Bermula dengan rakaman audio didakwa suara salah seorang pemimpinnya Nik Abduh Nik Abdul Aziz Februari lalu, PAS kembali dihujani tuduhan menerima dana daripada Umno.

Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan pimpinan lain berulangkali menyangkal dakwaan PAS menerima sumbangan daripada parti itu.

Tetapi ia tidak surut begitu saja apabila bekas naib presidennya Datuk Mahfuz Omar mendakwa sejumlah RM1.5 juta didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu pula menerima RM1 juta.

Terbaru, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dan calon Parlimen Shah Alam Dr Zuhdi Marzuki pada 20 April lalu sekali lagi menafikan partinya menerima dana Umno.

Ketika bercakap dalam satu forum Zuhdi berkata jumlah RM2.5 juta itu adalah sumbangan individu.

Razman menegaskan parti itu tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang menyumbang kepada mereka dan menjadikan isu usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) sebagai buktinya.

"PAS bukan parti khadam, sebab itu berani bawa usul RUU355," katanya yang dahulunya berkhidmat sebagai pegawai kastam sebelum bergiat aktif dalam PAS kira-kira beberapa tahun lalu.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.