Paling Popular
Terkini

ULASAN | Sejak bertugas di Kelantan bermula September tahun lalu, pertanyaan yang sering saya hadapi ialah: parti manakah bakal juara di bumi Serambi Mekah ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU14).

Mampukah PAS bertahan?

Bagi sesetengah orang - khususnya pimpinan parti - mereka sudah 'mengetahui' jawapannya dan keyakinan itu sangat kukuh sekali. Malah mereka bertindak mengatur pelbagai rancangan untuk mempertahankan diri.

Dan jawapan saya selalunya tidak jelas. Hal itu kerana amat sukar menjadi ahli nujum di negeri yang sudah 28 tahun sebati dengan cara pemerintahan PAS.

Kadang-kadang saya menjawab dengan nada gurauan. Lalu saya memetik dan mengubah suai dialog Cinta kepada Rangga semasa mereka bertemu sekali lagi selepas sekian lama terpisah dalam Ada Apa Dengan Cinta 2.

Lalu saya katakan: Apa yang kau tanyakan itu, jahat!

Mahu atau tidak, sebagai wartawan yang bertugas sebagai penyoal dan pelapor saya dan rakan-rakan petugas media juga tidak terkecuali untuk menjadi pemerhati, malah dengan deria rasa lebih dekat berbanding mereka di luar bidang ini.

Kami sering berdepan dengan lincah silat politikus yang masing-masing mempunyai pengaruh, ketokohan, pengalaman, ilmu, semangat juang dan poyo tersendiri.

Namun, di Kelantan segalanya mungkin. Atau boleh jadi juga segalanya tidak mungkin.

PAS masih jaguh

Senario semasa politik Malaysia - termasuk Kelantan - seperti ombak memukul gigi pantai. Gelombangnya berirama tetapi pada masa tertentu ia sukar diramal.

Ia - senario itu - akan tetap menjadi misteri sehinggalah SPR mengumumkan keputusan pada malam 9 Mei ini.

PAS dengan slogan Bangkit Pertahan Kelantan mahu atau tidak perlu mengakui penglibatan mereka kali ini adalah hidup mati perjuangan.

Dulu, kekuatan mereka tidak boleh dipersoal dan kini kekuatan PAS bukan soalan lagi di kalangan musuh politik mereka.

Pertembungan tiga penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan berlaku di semua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan.

PAS dan BN masing-masing mempunyai deposit pengundi tetap walaupun wujud pecahan undi selepas masing-masing melahirkan parti serpihan.

Dalam fasa pertengahan menuju hari Rabu yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu nanti, PAS ketika ini dilihat masih jaguh di Kelantan. Bendera-bendera hijau putih begitu lebat di setiap penjuru tanah dan ruang udara.

Program ceramah juga diadakan di serata lokasi dengan kehadiran memuaskan, sama ada hadirin dihidang dengan acara cabutan bertuah atau tidak. Barong-barong mulai didirikan dengan pelbagai kretiviti, aneka replika dan lampu hiasan.

Kelantan bagi PAS ialah nadi perjuangan mereka. Justeru parti itu mengambil pendekatan strategi berbeza berbanding di negeri lain.

Misalnya, pengumuman calon PAS Kelantan hanya dibuat pada 25 April, iaitu ketika 'pendekar' mereka di negeri lain sudah pun disahkan.

Bukan lagi tunggul kayu

Ia dipercayai satu strategi supaya PAS Kelantan menjadi tumpuan menyeluruh pada hari pengumuman calon itu, termasuk media.

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri akan hadir pada pengumuman yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Kira-kira dua kali Rabu lagi sebelum 9 Mei, saya lihat potensi PAS untuk mempertahankan kerajaan negeri Kelantan masih 50-50 dan bergantung juga kepada peratusan pengundi luar pulang untuk mengundi.

Selain itu, faktor calon-calon yang ditampilkan juga memainkan peranan besar pada kali ini selepas prestasi wakil-wakil rakyat PAS pada penggal lalu begitu diambil perhatian oleh rakyat.

Jika dulu ada kata-kata lelucon orang kampung saya: PAS letaklah tunggul kayu pun bertanding, pasti akan menang.

Namun sifir kali ini nampaknya tidak boleh lagi dijadikan gurauan dan jarang kedengaran di kedai-kedai kopi.

Kali ini rakyat mempunyai banyak pilihan dan muka baru daripada parti lain yang masih suci dalam kancah politik dan pentadbiran.

Pengundi akan menilai bagaimana wakil rakyat Pasir Mas, Bachok, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang kerian, Pasir Puteh dan kawasan-kawasan lain menunaikan tanggungjawab mereka pada penggal lalu. Begitu juga di kawasan-kawasan DUN.


Baca PAS tak terima dana dari kongsi gelap, kata Nik Abduh


Seperti kenyataan pimpinan mereka sebelum ini, sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baru akan ditampilkan sekali gus bermaksud 30 peratus juga calon lama digugurkan.

Nasib wakil rakyat seperti bekas ADUN Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim, yang begitu disayangi rakyatnya turut akan menimpa bekas wakil rakyat PAS yang lain.

Tetapi itulah perjuang dan amalan biasa yang perlu dihadapi - seperti kata pucuk pimpinan mereka.

Jadi ramalan saya - sebagai nujum atas angin negeri Cik Siti Wan Kembang - peluang PAS masih terbuka luas. Cuma hal yang sama juga terbuka luas buat parti lain.

Ia juga bergantung kepada buah-buah kilas dan pecutan saat-saat akhir masing-masing. Saya yakin masih ada peluru-peluru simpanan yang menjadi senjata.

Sehinggalah kita lihat sendiri sasarannya tepat menumbangkan musuh atau menusuk batang tubuh tuannya sendiri.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS