Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tak terima dana dari kongsi gelap, kata Nik Abduh
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 5:15 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS tidak memperoleh dana daripada mana-mana kongsi gelap bagi membiayai parti Islam itu.

"Ahli PAS boleh berbangga, PAS tidak pernah menerima dana daripada kumpulan kongsi gelap atau apa-apa aktiviti yang haram di sisi negara, apatah di sisi agama.

"Bagaimana nak jadi model pemerintahan terbaik, kalau awal-awal lagi diikat kumpulan haram?" soalnya menerusi status yang ditulis di Facebook hari ini.

Nik Abduh tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataan berkaitan kongsi gelap dan dana sesebuah parti di laman sosialnya itu.

Hujung Februari lalu, anak kepada bekas menteri besar Kelantan, allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan beliau dengan suara rakaman audio yang tular di media sosial.


Baca: Nik Abduh: Fitnah, karut, mengarut


Suara dalam rakaman tersebut antara lain mengaku PAS menerima wang daripada Umno, selain memetik nama presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah, karut dan mengarut.

Berikutan itu pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa mencabar Nik Abduh memfailkan saman kepada penyebar audio berkenaan.


Baca: AMANAH cabar Nik Abduh saman penyebar audio


Isu mengenai dana PAS timbul semula baru-baru ini  apabila bekas naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar mendakwa sejumlah RM2.5 juta didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu.

Penyandang anggota parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan dari mana PAS memperoleh dana pilihan raya yang dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM34.4 juta.

Semalam, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki mengakui PAS menerima dana RM2.5 juta.

Namun beliau menafikan sumbangan itu datang daripada Umno sebaliknya ia diterima daripada individu.


Baca: PAS: 'RM2.5 juta' itu derma individu, bukan dari Umno


PAS miskin tapi tak boleh 'dibeli'

Menerusi Facebooknya semalam Nik Abduh berkata PAS sebuah parti miskin sejak dahulu, tetapi pemimpinnya dan parti itu tidak mudah 'dibeli'.

"Siapa pun cukup sedar itu. Kewangannya bergantung penuh kepada sifat budiman dan jihadiyah ahli dan penyokongnya yang hampir tiada yang bertaraf jutawan.

"Tetapi oleh kerana kemiskinan itu tidak menyebabkan PAS tunduk kepada penguasa dan orang-orang kaya, itu telah amat menyakitkan hati mereka. 

"PH (Pakatan Harapan) menyangka mereka boleh 'membeli' PAS sebagaimana mudahnya mereka membeli PAN (AMANAH)," dakwanya.

Selain itu Nik Abduh berkata tiada sesiapa dapat menafikan bahawa pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah 'pendendam' nombor satu kepada PAS.

Tambahnya, semasa menjadi perdana menteri, Mahathir juga pernah gagal dalam cubaan 'membeli' allahyarham bapanya.

"Sehinggalah kini, ketika PH di ambang keletihan menuju kekalahan, beliau (Mahathir) terus gagal membeli tuan guru presiden PAS. Dendam terus membiak daripada hitamnya kesombongan," jelas Nik Abduh.

Katanya lagi, meskipun PAS miskin, tetapi parti itu cekal dan kemuliaan diri adalah junjungan perjuangannya.

"Parti-parti dan pakatan parti politik yang kaya raya tidak mungkin sanggup kalah dan tewas kepada parti PAS yang miskin dalam PRU14 ini, apatah mereka telahpun kalah awal dalam usaha 'membeli' PAS," kata Nik Abduh.

Lihat Komen
ADS