Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan terakhir Dr M singkir 2 panel RCI ditolak

Tun Dr Mahathir Mohamad gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mencabar penglibatan dua panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian forex yang berlangsung September lalu.

Sebelum bermulanya RCI, bekas perdana menteri itu memohon semakan kehakiman terhadap penglibatan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon, ekoran kedua-duanya turut menganggotai pasukan khas kabinet yang mencadangkan penubuhan RCI itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan itu.

"Kami berpandangan tidak salah bagi anggota pasukan khas untuk turut menjadi panel RCI," kata Ketua Hakim Tun Md Raus Sharif yang mengetuai panel.

Dua lagi hakim yang menjadi anggota panel adalah Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali.

Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) diwakili peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Mahathir memfailkan permohonan itu pada 9 Ogos lalu dengan menyatakan penglibatan Sidek dan Saw dalam pasukan khas yang mencadangkan RCI menjadikan kebebasan mereka diragui.

Namun permohonan itu ditolak pada 17 Ogos selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi membenarkan bantahan awal oleh kerajaan yang menyatakan keputusan RCI melantik mereka adalah keputusan yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

Justeru, Azizah berkata usaha Mahathir untuk mendapatkan perintah mahkamah itu adalah tidak wajar.

Permohonan itu juga ditolak di peringkat Mahkamah Rayuan pada 13 Disember.

Sidek kemudian menjadi ketua panel RCI. Hasil siasatan kemudian dibentang di Parlimen pada November tahun lalu.

Mahathir juga mencabar keputusan siasatan dan memohon hakim lain bagi kes itu.

Beliau memfailkan saman pemula untuk memohon pengisytiharan laporan RCI sebagai tidak sah mengikut undang-undang dan tidak boleh diterimam, kerana tidak memasukkan semua kenyataan saksi atau testimoni mereka yang memberi keterangan, termasuk permintaan bertulis atau lisan dalam bentuk transkrip atau rakaman video, dan hujah yang dibuat oleh peguam.

Laporan RCI menyatakan Bank Negara kerugian kira-kira RM31.5 bilion ekoran kegiatan spekulasi dalam tukaran wang asing yang berlaku antara 1992 hingga 1994.

Ia antara lain menamakan Mahathir, bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai pihak yang bertanggungjawab atas kerugian itu.
 

Lihat Komen
ADS