Umno Wangsa Maju tetap sokong calon BN
PRU14 | Meskipun kecewa kerana calon mereka tidak bertanding, Umno bahagian Wangsa Maju akan tetap menyokong calon BN yang dipilih iaitu Datuk Seri Yew Teong Look.
Ketua Bahagiannya Datuk Mohd Shafei Abdullah yang menafikan dakwaan bahawa Umno Wilayah Persekutuan akan mengambil alih operasi pilihan raya di bahagian Wangsa Maju, beliau sebaliknya berkata anggotanya sudah mula menjalankan kerja-kerja berkempen.
"Pusat operasi kami sudah berjalan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, terdapat dakwaan untuk mensabotaj BN di Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.
Ekoran itu, menurut Tengku Adnan, Umno Wilayah Persekutuan mungkin mengambil alih bahagian Wangsa Maju.
Untuk Bandar Tun Razak pula, Tengku Adnan berkata perbincangan kini sedang dijalankan bersama MCA berhubung cara untuk menangani kemungkinan berlakunya sabotaj.
BN pernah memenangi kerusi parlimen Wangsa Maju pada 1995 dan 1999 dengan meletakkan calon Umno.
Kemudian, MCA diberi hak untuk meletakkan calonnya di kawasan itu pada 2004.
Pada 2013, MCA telah "meminjamkan" kerusi Wangsa Maju kepada Umno yang kemudian menamakan Shafei sebagai calon mereka.
Bagaimanapun, pemimpin MCA tempatan tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan memutuskan untuk tidak membantu Shafei.
Akhirnya, pada pilihan raya umum 2013, Shafei dikalahkan dengan majoriti sebanyak 5,511 undi.
Tidak lama selepas BN Wilayah Persekutuan mengumumkan calon mereka pada 23 April lalu, Shafei kemudian berkata beliau mahu berehat kerana tidak menjadi calon.
Bagaimanapun, ketika dihubungi hari ini, sesi rehat Shafei nampaknya sudah berakhir.
"Saya baik-baik saja, hidup mesti diteruskan," katanya sambil ketawa.

