Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan sekeras-kerasnya 'berita palsu' yang diedarkan dalam klip audio WhatsApp mengenai dakwaan perbelanjaan kerajaan yang melampau untuk Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Dalam satu kenyataan, PMO berkata bahawa tuduhan individu dalam klip audio itu juga boleh disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan baru-baru ini.
Dalam rakaman tersebut, seorang individu telah membuat tuduhan tidak berasas dan liar mengenai perbelanjaan kerajaan yang membabitkan Datin Sri Rosmah.
Beliau mendakwa perbelanjaan yang amat tinggi dibuat oleh kerajaan bagi kek sambutan hari jadi isteri Perdana Menteri dan kos memasang dua buah kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Datin Sri Rosmah di Putrajaya.
"Dalam rakaman tersebut, seorang individu telah membuat tuduhan tidak berasas dan liar mengenai perbelanjaan kerajaan yang membabitkan Datin Sri Rosmah.

"Beliau mendakwa perbelanjaan yang amat tinggi dibuat oleh kerajaan bagi kek sambutan hari jadi isteri Perdana Menteri dan kos memasang dua buah kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Datin Sri Rosmah di Putrajaya.
"Individu tersebut yang mendakwa sumber berita tersebut datang dari seorang rakan beliau yang bertugas di Kementerian Kewangan juga mendakwa kononnya kutipan GST berjumlah RM70.1 juta sehari telah habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara," kata kenyataan itu.
PMO menyifatkan dakwaan tersebut bermotifkan politik.
Kenyataan itu juga kesal dengan peningkatan berita tidak benar dan fitnah yang beredar di media sosial menjelang pilihan raya umum ke-14 ini.
Nilai dan semak
"Orang ramai dinasihatkan membuat penilaian serta semakan sebelum mempercayai berita-berita palsu serta fitnah yang disebarkan demi tujuan peribadi atau politik golongan yang tidak bertanggungjawab.
Individu yang terlibat dalam pembuatan dan penyebaran berita palsu ini boleh disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Awal hari ini, pegawai khas isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor turut mengulas klip audio itu, menafikan Rosmah Mansor memiliki pejabat di Putrajaya.
"Saya mencabar tuan empunya suara dapat tampil ke depan dan buat tuduhan secara terbuka.
"Jangan jadi bacul dan penakut untuk buat fitnah menggunakan Whatsapp," kata Rizal yang berkata pihaknya akan membuat laporan pada SKMM mengenai perkara itu.
