PENGUMUMAN | Seperti pilihan raya umum lalu, Malaysiakini akan memansuhkan langganan berbayar (paywall) untuk versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina untuk dua minggu seterusnya bermula hari ini.

Pembaca yang belum melanggan boleh mengakses semua laporan berita dan rencana Malaysiakini dengan hanya mendaftar alamat emel.

Bagi pelanggan sedia ada, 14 hari akan ditambah dalam tempoh langganan mereka.

"Kami tahu pengundi akan bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber berita bebas jadi kami dengan sukacitanya akan membuka Malaysiakini untuk semua tanpa bayaran dalam tempoh yang penting ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran.

Menurut Google Analytics, bulan ini saja hampir lapan juta pembaca mengakses lebih 140 juta paparan halaman Malaysiakini.

Bagi KiniTV, kesemua 3.5 juta penonton telah menonton lebih 20 juta paparan video.

Selain bacaan langsung, laporan Malaysiakini dan klip video KiniTV dikongsi secara meluas di WhatsApp dan rangkaian emel yang melebarkan lagi capaian Malaysiakini.

"Dalam beberapa bulan lalu, capaian ke Malaysiakini meningkat dengan begitu ketara menjelang PRU14 sejak parlimen dibubarkan.

"Terutamanya laman bahasa Melayu yang menyaksikan peningkatan pengunjung sehingga tiga kali ganda, sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelumnya," kata ketua pengarang Steven Gan.

Pada hari mengundi PRU 2013, Malaysiakini mencapai lebih 500,000 capaian per minit dengan anggaran 12 hingga 15 juta pembaca.

Pada PRU kali ini, Malaysiakini bersedia dengan jangkaan 20 juta pembaca pada 9 Mei.

"Kecuali ada pihak tertentu yang sekat talian Internet, kami menjangkakan 80 peratus pengundi dengan akses Internet akan mengunjungi Malaysiakini pada hari mengundi.

"Kami akan buat yang terbaik bagi memastikan pembaca mendapat berita, paparan video, dan tentunya keputusan pilihan raya," kata Premesh.

Liputan PRU ke-14 ini merupakan liputan kelima pilihan raya oleh Malaysiakini dalam tempoh 18 tahun. Malaysiakini sebelum ini membuat liputan pilihan raya PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013.

Ruangan komen bagaimanapun hanya untuk pelanggan Malaysiakini.

Bagi mereka yang ingin menyertai komuniti Malaysiakini yang penuh bersemangat dan mahu menyampaikan suara mereka dalam musim pilihan raya ini, boleh melanggan di sini.

Jika anda sudah melanggan, dialu-alukan untuk menderma Tabung Pembelaan Malaysiakini.