Hata cabar cucu tokoh komunis Melayu debat
Bekas pemimpin kesatuan wartawan yang juga anggota DAP Damansara Hata Wahari mencabar calon DAP kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berdebat.
Debat itu, menurut Hata adalah bagi membuktikan cucu Shamsiah Fakeh itu bukan berfahaman komunis dan mendokong agenda Parti Komunis Malaya (PKM) yang disertai oleh neneknya.
"Tindakan Jamaliah berselindung di sebalik Pengerusi DAP Selangor (Tony Pua) yang juga pengerusi DAP Damansara dengan menyatakan bahawa beliau bukan seorang komunis sebaliknya seorang pendokong demokrasi bukan cara terbaik untuk membuktikan diri bahawa beliau tidak berfahaman komunis dan mendokong agenda komunis," katanya.
Hata juga menyifatkan kenyataan Jamaliah yang mahu dirinya dinilai bukan berdasarkan neneknya adalah sesuatu yang janggal.
"Bagi saya kenyataan itu adalah janggal kerana selama saya berada di dalam DAP Damansara, tidak ada apa-apa yang dibuat oleh beliau.
"(Jamaliah) baru memasuki DAP pada tahun 2016, terus diangkat menjadi Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan kini diangkat lagi sebagai calon DUN Bandar Utama.
"Tetapi dalam tempoh itu banyak perkara yang saya dengar berkaitan beliau, tindak-tanduk dan agenda-agenda yang dilakukan banyak kepada mirip agenda songsang," katanya tanpa menyebut tindakan sosngsang yang dimaksudkan.
Debat ilmiah
Dalam surat terbukanya yang ditujukan kepada DAP sebelum ini, Hata mengecam pencalonan Jamilah dan menyifatkan ia sebagai tidak menghargai sokongan orang Melayu kepada DAP.
Bekas wartawan Utusan Malaysia itu juga kecewa kerana menurutnya DAP tidak meminta pendapat anggota Melayu dalam DAP sebelum mencalonkan cucu Shamsiah Fakeh itu sebagai calon PRU.
Mengulas perkara itu, Jamaliah menggesa semua pihak tidak menghakiminya berdasarkan neneknya dan menjelaskan dia mempunyai pengalaman sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Dalam tulisannya tentang neneknya sebelum ini, Jamaliah menyatakan neneknya adalah idolanya dan menyifatkan Shasiah Fakeh sebagai "wirawati dan pejuang bangsa".

Jamaliah juga berkata, pada masa penjajahan British, neneknya tiada pilihan selain daripada menyertai peperangan namun menegaskan bahawa hari ini dia berjuang atas prinsip demokrasi bersama DAP.
Selain merupakan anggota PKM, Shamsiah Fakeh juga merupakan pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang merupakan organisasi wanita pertama di Malaysia.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam mengulas isu itu berkata beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana menganggap Jamaliah bukan seorang komunis, sebaliknya menyokong sistem demokrasi negara.
Sementara itu, Hata menggesa agar Jamaliah menyahut cabarannya untuk berdebat.
"Mari Jamaliah, mari buktikan bahawa anda bukan seorang yang berfahaman komunis, mari buktikan bahawa anda tidak mendukung agenda komunis.
"Jadi seorang pejuang sejati, mari tunjukkan bahawa anda bukan seperti apa yang saya katakana, nyatakan tarikh dan tempat di mana kita berdebat.
"Mari kita berdebat secara ilmiah, mari kita berdebat bersandarkan fakta, dan bersedia untuk mendengar hujahan-hujahan saya, dan bersedia untuk menerima soalan-soalan saya bagi membuktikan bahawa anda bukan seorang yang berfahaman komunis dan anda tidak mendokong agenda komunis," katanya.

