Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz ancam saman dakwaan 'mengemis duit Umno'
Diterbitkan:  Apr 27, 2018 6:02 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar berhasrat memulakan tindakan saman sejumlah RM500,000 ke atas seorang pemimpin Pemuda PAS Wilayah yang sebelum ini mendakwa beliau dengan dua pertuduhan tidak berasas.

"Saya tahu dan kenal siapa orang ini," kata beliau.

Mahfuz juga berkata pihak yang menuduhnya itu terlibat kerja-kerja perang saraf PAS di Wilayah Persekutuan, malah pernah jadi pemimpin kanan Pemuda PAS.

"Semua tulisan fitnah beliau dimuatnaik di applikasi facebook milik beliau," kata Mahfuz.

Dakwaan pertama mengenai beliau menerima tajaan pimpinan Umno sebanyak RM60,000 dalam kempen pilihan raya 2008 dan 2013. Sementara dakwaan kedua pula berkaitan isu perkahwinan anak perempuan beliau pada 2016 yang dikatakan ditaja pimpinan Umno sebanyak RM40,000.

"Duit-duit ini dibayar kepada akaun peribadi beliau tanpa dilaporkan kepada parti.

"Miskin sangat ke beliau sehingga perlu mengemis duit Umno macam tu," dakwa penulis tersebut.

Individu itu juga mendakwa Mahfuz memiliki hubugan rapat dengan pemimpin Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Nazri Aziz.

Bagaimanapun, Mahfuz menafikan semua dakwaan berkenaan.

"Saya menafikan semua dakwaan di dalam tulisan individu tersebut dan telah mendapatkan nasihat dari peguam saya untuk tindakan undang-undang.

Peguam ambil tindakan

"Ini merupakan fitnah yang sengaja dilemparkan kepada saya bagi menjatuhkan kredibiliti, mencacatkan dan mencemarkan nama baik serta reputasi saya ketika pilihan raya umum ke-14 semakin hampir," kata penyandang ahli Parlimen PAS Pokok Sena yang bakal mempertahankan kerusi itu.

Tambah beliau, pihaknya sudah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu menunggu selepas pilihan raya.

"Tunggu saman saya RM500,000 dan bersedia di mahkamah nanti.

"Jangan hanya kerana seronok menabur cerita, kelak menyusahkan diri terpaksa bergolok bergadai mencari RM500,000," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata, sejak seminggu lalu, beliau menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp dan telefon berhubung dakwaan fitnah terhadap dirinya.

'Derma individu bukan dari Umno'

Malaysiakini tidak menamakan pihak yang didakwa Mahfuz dan gagal menghubunginya.

Dakwaan PAS menerima duit Umno telah beredar sejak dua tahun lalu.

Baru-baru ini, Mahfuz yang juga bekas naib presiden PAS mendakwa sejumlah RM1.5 juta juga dimasukkan ke akaun salah satu jabatan PAS Pusat.

Namun demikian, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Zuhdi Marzuki menolak dakwaan partinya menerima dana daripada Umno.

Bercakap di suatu forum pada 20 April lalu, beliau mengulangi kenyataan PAS bahawa dasar parti itu terbuka untuk menerima sumbangan daripada sesiapa saja termasuk di kalangan individu.

"Bekas pimpinan PAS sendiri kata kita dapat RM1.5 juta, RM1 juta dalam bank, ini adalah merupakan derma.

Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," kata Zuhdi.


 

Lihat Komen
ADS