PRU14 | Gambar Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak menghiasi kulit hadapan edisi terkini majalah mingguan perniagaan Amerika Syarikat, Bloomberg Businessweek.

Dalam wawancaranya dengan majalah itu, Najib bercakap mengenai skandal 1MDB, pengalamannya melalui "masa sukar" dan pengkritiknya yang paling lantang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara majalah itu, Najib bercakap tentang perubahan, atau lebih khusus keperluan untuk menangguhkan perubahan.

"Perubahan - itu kata basi (cliché)," kata Najib.

"Semua orang bercakap tentang perubahan, tetapi anda tidak boleh mendahului zaman, melakukan sesuatu yang belum dapat diterima orang ramai.

"Saya percaya pada perubahan, tetapi saya juga percaya anda perlu menetapkan jadual untuk perubahan yang berterusan dengan penerimaan dan kesediaan orang ramai," katanya.

Majalah itu juga menyorot kempen Najib yang dilihat memakai cara kempen Presiden AS Donald Trump yang terkenal dengan slogan "Make America great again."

"Seperti slogan kempennya 'BN jadikan Malaysia negara yang lebih hebat' sehinggalah kepada siri hantaran Twitter," lapor majalah itu.

Majalah itu juga mendapati Najib turut mengikuti penolakan Presiden Trump terhada "berita palsu" dan telah menggubal undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara kepada pihak yang menyiarkan maklumat yang "sepenuhnya atau sebahagiannya palsu".

Majalah itu melaporkan setelah beberapa waktu, Najib tidak begitu terancam dengan skandal 1MDB, manakala kebanyakan rakyat Malaysia tidak menganggapnya sebagai kebimbangan utama mereka.

Janji Dr Mahathir siasat 1MDB

Berdasarkan liputan majalah itu, Najib dilihat telah membuat beberapa pembaharuan seperti sistem cukai yang lebih progresif, penarikan subsidi dan melaksanakan dasar gaji minima.

Walau bagaimanapun, beliau dikatakan memerlukan kemenangan besar dalam pilihan raya umum ini bagi mendapat dukungan politik bagi melakukan lebih banyak lagi pembaharuan.

"Najib memerlukan kemenangan kerana alasan lain. Sekiranya gabungan Mahathir (HARAPAN) entah bagaimana dapat membuat kejutan (menang dalam PRU14), ia telah berjanji untuk menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyiasat 1MDB dan menangkap mereka yang terlibat dalam skandal itu.

"Sebagaimana yang Najib ketahui, politik Malaysia boleh menjadi sangat kotor," sebut laporan itu lagi.