Dakwaan dana bantu BN: MCA kata hargai semua sokongan
Calon MCA Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong hari ini tampil menjelaskan dakwaan lawannya, Liew Chin Tong bahawa seorang ahli perniagaan Johor menyumbang jutaan ringgit kepada BN bagi memastikan beliau kalah di kawasan yang ditandinginya.
"Pertama sekali, saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan politik wang.
"Orang yang menyokong dan menyumbang kepada saya termasuk ahli perniagaan, guru, petani kecil, pelayan dan lain-lain.
"Terdapat pelbagai jenis penyokong dan saya hargai sokongan setiap mereka," kata timbalan presiden MCA itu dalam satu hantaran di Facebook.
Wee berkata Liew tidak seharusnya cuba menimbulkan kebencian dan konflik.
"Lawan saya tidak perlu benci orang kaya, bangkitkan emosi, memecah-belahkan masyarakat dan mewujudkan konflik.
"Jika saya memang terlibat dalam politik wang, cabar lawan saya untuk mengemukakan bukti, jika tidak, kamu harus menarik balik tuduhan itu," katanya.
Wee menekankan bahawa beliau telah berkhidmat di Ayer Hitam selama 15 tahun dan mempunyai visi untuk kawasan itu berbanding Liew yang merupakan orang luar.
Semalam, Liew mendakwa seorang tauke Johor menyalurkan jutaan ringgit bagi membantu calon BN di kerusi parlimen Ayer Hitam, Labis dan Sembrong.
"Saya tahu di Ayer Hitam, saya bukan hanya berdepan timbalan presiden MCA Wee Ka Siong tapi juga sumber kerajaan dan sokongan ahli perniagaan," katanya.
Bagaimanapun, kata Liew, jutaan ringgit yang diberikan kepada BN tidak dapat menyekat perubahan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.
"Saya percaya jika rakyat mahukan perubahan, maka perubahan akan berlaku," katanya.
Justeru, Liew berpesan agar ahli perniagaan itu 'simpan saja duitnya'.
"Jika ada perubahan kerajaan, dia (ahli perniagaan itu) akan perlu berurusan dengan kerajaan baru,” katanya.

