Kerajaan tak buat kerja gitu, kata Saifuddin kepada Aziz
PRU14 | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk parlimen Kulim- Bandar Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan kenyataan dibuat Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengenai alasan disebalik penangguhan projek menaik taraf jalan di kawasan berkenaan.
Menjelaskan isu itu Saifuddin berkata perjalanan urusan kerajaan bukan seperti apa yang dijelaskan Abdul Aziz semalam.
Kata setiausaha agung PKR itu sesebuah projek berskala besar, kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi melaksanakannya.
Katanya kerajaan tidak akan mengalihkan peruntukan bagi sesebuah projek bagi membiayai projek lain, seperti dijelaskan Abdul Aziz.
"Jika kerajaan nak buat lapangan terbang, biasanya kerajaan akan ada peruntukan untuk lapangan terbang.
"Kalau kerajaan nak buat lebuh raya, kerajaan ada bajet untuk lebuh raya.
"Lebuh raya yang dijanjikan Abdul Aziz itu tak dilaksana bukan kerana bajet diambil oleh menteri besar waktu itu untuk buat lapangan terbang," katanya kepada Malaysiakini.
Mukhriz didakwa jadi punca
Semalam Malaysiakini melaporkan penyandang kerusi parlimen Kulim - Bandar Baharu itu sebagai berkata BN menjamin kerja-kerja menaik taraf jalan raya yang menghubungkan dua bandar itu masih berjalan.
"Lebuh raya menghubungkan Bandar Baharu ke Kulim yang kami janjikan pada pilihan raya lepas tidak dibuat dan itulah satu-satunya isu yang sering dibawa pihak yang mengkritik saya.
"Tetapi selain itu, saya fikir semua orang akur bahawa kami telah berbuat banyak perkara," katanya.

Abdul Aziz menjelaskan projek menaik taraf laluan itu memang ada dijanjikan sempena PRU 2013, tetapi peruntukan berkenaan didakwanya disalurkan semula untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Beliau kemudian menyalahkan menteri besar Kedah pada waktu itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, atas keputusan berkenaan.
Mukriz kini ialah pengerusi HARAPAN Kedah.
Kata Saifuddin beliau meminta pengundi Kulim-Bandar Baharu melihat sendiri bagaimana Abdul Aziz gagal menunaikan janji BN selepas diberi mandat lima tahun lalu.
"Beliau bukan sahaja tidak melaksanakan janji membina laluan empat lorong itu, tetapi menyalahkan pula pada Mukhriz," katanya.
Melambung-lambung dalam kereta
Semasa ditemu bual Malaysiakini, Saifuddin berkata, beliau berada dalam kenderaan dan "melambung-lambung" menjawab soalan kerana kualiti jalan raya yang tidak memuaskan di di Selama, Kedah.
Saifuddin menambah, beliau menasihatkan Abdul Aziz supaya tidak lagi membuat janji yang di luar kemampuannya untuk ditunaikan.
"Janji itu biarlah realistik mengikut kedudukan kewangan negara," katanya.
Kulim - Bandar Baharu adalah kawasan yang berpotensi ditawan HARAPAN.

Abdul Aziz menjadi anggota parlimen di situ buat kali pertama pada 2013 dengan mengalahkan Saifuddin dengan majoriti 1,871 undi.
Kerusi itu asalnya dimenangi pembangkang melalui Zulkifli Nordin pada 2008. Namun untuk rekod Kulim - Bandar Baharu adalah kawasan yang tebal dengan sokongan kepada Umno.
Ia pernah diwakili abang Abdul Aziz, Abdul Kadir, selama beberapa penggal. Abdul Aziz kini mengetuai Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang bersekutu dengan PAS.
Pada 9 Mei ini Saifuddin dipertemukan dengan Abdul Aziz serta wakil PAS Hasan Abdul Razak.

