Nik Omar: Ambo bawa legasi tok guru
PRU14 | Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak lelaki kedua allahyarham mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak terkejut dengan serangan daripada ahli keluarganya yang mendakwa dirinya khianat.
Pada suatu majlis HARAPAN di Shah Alam hari ini, Nik Omar berkata keputusannya untuk menyokong gabungan itu dibuat berdasarkan keyakinan beliau bahawa pendekatan HARAPAN lebih dekat dengan pendekatan allahyarham bapanya.
"Ambo tahu keluarga terdekat dia tekan dia paksa seolah-olah ambo keluar agama. Khianat pada perjuangan tok guru.
"Ambo (saya) yakin ambo yang bawak legasi tok guru (Nik Aziz)," kata Nik Omar bersambut laungan 'Takbir' daripada hadirin (gambar) lebih seratus orang di Seksyen 8, Shah Alam.

Nik Omar menjawab soalan seorang pengundi DUN Kota Anggerik yang mempersoalkan tentang khabar angin bahawa beliau tidak menerima restu ibunya untuk bertanding di kerusi yang sebelum ini dipegang oleh arwah bapanya.
Keputusan mengejutkan Nik Omar untuk bertanding menentang PAS telah mencetuskan bantahan daripada kalangan ahli keluarganya, termasuk adik lelakinya calon parlimen Pasir Puteh, Nik Abduh.
Sepupu Nik Omar, Dusuki Abdul Rani yang bertanding sebagai calon PAS di Kota Anggerik juga membantah keputusan beliau itu.
Restu ibu
Kemudian, seorang lagi hadirin bertanyakan jika benar Nik Omar tidak mendapat restu ibunya. Beliau tertawa dan berkata tiada ibu yang membenci anaknya.
"Tidak ada anak tidak sayang emak. Tidak ada emak yang tidak sayang anak," jawab Nik Omar.
Nik Omar juga berkata Islam mengajar seorang abang untuk menjaga adik-adiknya, manakala saudara yang lebih muda perlu hormat kepada yang lebih tua.
"Abang kena tetap sayang adik. Pada masa sama adik kena reti cara hormat abang dia," katanya.
Nik Omar di Selangor hari ini berkempen untuk calon HARAPAN termasuklah calon DUN Kota Anggerik Najwan Halimi, DUN Batu Tiga Rodziah Ismail dan calon Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

