PRU14 bukan waktu untuk bersuka-suka - Najib
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan satu tempoh untuk rakyat bersuka ria, tetapi merupakan waktu penting untuk mereka menilai dan memilih sebuah kerajaan di peringkat pusat dan negeri bagi mewakili suara mereka.
Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, dalam hal ini, sebuah kerajaan yang kuat adalah penting agar pentadbiran negara dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan.
"Bila ada PRU bukan soal nak suka-suka, masa ini kita nak pesta lawan bendera ke apa ke.
"Jangan lupa matlamat kita untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri dan nasional," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat yang baharu di Sungai Koyan di Kuala Lipis hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Hadir sama calon BN bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh dan DUN Tanah Rata, Leong Tack Mun.
- Bernama

