PRU14 | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Barisan Nasional (BN) menang 3-0 di Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kemenangan 3-0 itu merujuk kepada kemenangan bagi kerusi Parlimen Sungai Siput dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang serta Jalong.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Sungai Siput dimenangi oleh Dr Micheal Jeyakumar Devaraj daripada PSM (bertanding tiket PKR), DUN Lintang disandang Datuk Zolkafly Harun daripada BN manakala DUN Jalong milik Loh Sze Yee daripada DAP.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata dakwaan bahawa Sungai Siput merupakan kawasan hitam atau sukar dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum kali ini perlu dibuktikan tidak tepat.

“Tapi tahun ini saya seru untuk BN ambil alih Sungai Siput (daripada pembangkang).


“Kita sebelum ini kalah 1-2 dan kali ini saya tahu mahu menang 2-1 tapi saya nak kita menang 3-0,” katanya ketika berucap merasmikan program Hebatkan Negaraku di Pusat Konvensyen di Sungai Siput hari ini.

Pada PRU14, Parlimen Sungai Siput menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri S.K Devamany (BN-MIC), S. Kesavan (PKR), Ishak Ibrahim (PAS) dan Dr Jeyakumar (PSM).

Sementara itu, untuk DUN Jalong, BN mempertaruhkan Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe manakala Zolkafly akan mempertahankan DUN Lintang.

Najib berkata penduduk Sungai Siput perlu memberi mandat kepada BN kali ini bagi membolehkan perubahan dan transformasi dilaksanakan di kawasan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum termasuk Orang Asli.

“Kita semua perlukan transformasi. Bagi mandat (kepada BN) pada 9 Mei, Insya-Allah, Sungai Siput akan berubah di bawah pentadbiran BN,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 orang yang memenuhi pusat konvensyen itu.

Najib sementara umum projek

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengumumkan lima berita gembira buat penduduk Sungai Siput antaranya projek menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong sebagai sekolah berasrama penuh Orang Asli pertama di Malaysia.

Sebuah SMK Agama berasrama penuh akan dibina di Lintang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bakal diwujudkan di Salak, kata Najib.

Beliau juga mengumumkan lebih banyak rumah untuk Orang Asli akan dibina di samping pembinaan 500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Siput.


- Bernama