PRU14 | Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, kesatuan sekerja itu mengekalkan sokongan terhadap BN kerana perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak banyak membantu golongan pekerja.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Setiausaha Agung MTUC J Solomon menggesa 14 juta pekerja di seluruh negara mengundi untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) esok.

Mengulas lanjut, Abdul Halim mendakwa portal berita atas talian memanipulasi kenyataan Solomon dan menegaskan setiausaha agung MTUC itu bercakap atas kapasiti setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

"Saya sudah baca kenyataan yang dikeluarkan Solomon dan ia telah dimanipulasi oleh beberapa portal berita atas talian seperti cuba merosakkan hubungan baik MTUC dan kerajaan," katanya.

"Dalam kenyataan itu, Solomon tidak menyebutkan bahawa beliau mewakili MTUC tapi sebaliknya ia dikeluarkan atas kapasitinya sebagai wakil NUBE. Jika ia adalah untuk NUBE dan 20,000 anggotanya, dia bebas untuk membuat sebarang kenyataan. Ia tidak mewakili MTUC," katanya seperti dilapor New Straits Times.

Selain Malaysiakini, kenyataan Solomon juga dilaporkan oleh The Sun Daily, The Edge Markets dan beberapa media lain.

Kenyataan media Solomon menggunakan kepala surat (letterhead) MTUC dan dia menandatangani kenyataan itu sebagai setiausaha agung MTUC tanpa menyebutkan jawatannya dalam NUBE.

Laporan Malaysiakini bertajuk "MTUC gesa 14 juta pekerja tunjuk kuasa sokong HARAPAN" juga dikongsi di laman web dan Facebook kesatuan itu.

Sementara itu, Abdul Halim berkata dasar MTUC memerlukan sesebuah kenyataan media rasmi mendapat kebenaran majlis am selain 200 kesatuan yang dikaitkan dengan organisasi itu.

"Dalam kes ini, kenyataan itu dibuat Solomon adalah tentang NUBE.

"Jadi pada pendapat saya, ini merupakan satu taktik yang digunakan beberapa portal berita untuk mendapatkan capaian tinggi terhadap kenyataan itu.

"Mungkin mereka fikir lebih baik guna jawatan Solomon sebagai setiausaha agung MTUC berbanding jawatannya dalam NUBE," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Solomon untuk mendapatkan ulasan lanjut dan sedang menunggu balasan.

Berikut merupakan kenyataan media Solomon sebelum ini: