Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat undi bantah 1MDB, kata Nazir
Diterbitkan:  May 10, 2018 10:36 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

PRU14 | Skandal 1MDB yang mencemari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak merupakan antara punca tersungkurnya BN daripada kuasa, kata adiknya Datuk Seri Nazir Razak.

"Krisis 1MDB ini besar dan membingitkan. Jika dilihat kembali, 1MDB juga membawa kepada hal lain, ada kesan peringkat kedua dan ketiga.

"Melihat kepada layanan tidak konsisten isu ini di dalam dan luar negara, ia menjejaskan reputasi Malaysia...Saya fikir rakyat juga mengundi (untuk) membantahnya," katanya yang juga pengerusi CIMB.

Nazir berkata, penubuhan kerajaan baru membuka peluang untuk mengubah naratif isu ini.

Ditanya berhubung penyelesaian terbaik bagi 1MDB, beliau berkata: "Ketelusan secara penuh dan menanganinya dengan cara yang saya sudah sebut dulu."

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa Najib menyelewengkan dana daripada syarikat itu serta pihak berkuasa menutup skandal itu walaupun ia disiasat di beberapa negara.


Baca: Nazir: Mahathir sentiasa langkaui jangkaan


Kerajaan BN menafikan tuduhan itu. Najib pula mendakwa Mahathir cuba menyingkirkannya dengan dakwaan palsu.

Presiden Umno itu berkata wang berjumlah RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya - yang didakwa Mahathir daripada 1MDB - merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Najib juga menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

1MDB menjadi perhatian dunia antaranya ketika Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan beberapa saman sivil yang mendakwa dana daripada syarikat itu digunakan untuk membeli barangan mewah seperti berlian dan kapal pesiar mewah.

Peguam Negara AS Jeff Sessions menyifatkan kes itu sebagai "kleptokrasi terburuk".

Saman itu turut membabitkan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikatakan rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS