Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengekalkan negeri itu dengan majoriti besar.

Majlis istiadat itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Balairong Seri di Istana Alam Shah di Klang.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Turut turut berangkat mengiringi baginda Sultan pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar akujanji

Dalam majlis tersebut, Azmin mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.

Ia disusuli angkat sumpah untuk menjadi anggota Dewan DiRaja Selangor.

Mohamed Azmin sambil memegang Lembing Sembuana,melafazkan 10 ikrar akujanji sebagai menteri besar, antaranya memelihara serta menjunjung tinggi prinsip Rukunegara dan memelihara kedaulatan institusi Raja serta mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Menteri besar turut berikrar untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta pada masa sama kepentingan sah kaum lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, selain memelihara jawatan yang dipegang daripada dicemari dengan pelakuan-pelakuan menyalahi undang-undang.

Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berlangsung sekitar jam 3.30 petang tadi.

Turut hadir isteri Mohamed Azmin, Shamsidar Taharin dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Ketika ditemui kemudian, Azmin berkata beliau akan mengadap Sultan sekali lagi pada Ahad ini untuk mengemukakan senarai nama sepuluh ahli exco negeri.

"Penggal dulu, kami memiliki empat orang exco daripada PKR, tiga daripada DAP dan tiga lagi daripada PAS.

"Tetapi sekarang tentu sekali kita perlu berbincang dengan parti komponen HARAPAN berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi," kata Azmin yang menjelaskan beliau akan bertemu pimpinan HARAPAN Selangor esok.

 Azmin berkata mesyuarat HARAPAN esok akan memutuskan senarai nama exco sebelum ia diserahkan kepada Sultan pada Ahad.

Calon exco berkelayakan sesuai

"Apa yang penting, berdasarkan titah Sultan kesemua calon exco itu mestilah memiliki kelayakan yang sesuai," kata beliau.

Azmin juga berkata majlis istiadat angkat sumpah untuk semua exco kerajaan Selangor akan dibuat di istana pada tengahari Isnin ini.

Pada PRU14 Rabu lepas, Azmin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi.

Azmin ialah Menteri Besar Selangor yang ke 15.

Pada PRU14 Rabu lalu, HARAPAN menawan 51 daripada 56 kerusi DUN Selangor menjadikan barisan pembangkang terdiri daripada empat ADUN BN dan satu PAS.

Calon HARAPAN yang bertanding atas tiket PKR menawan 20 dari 22 kerusi parlimen di Selangor.

 

[baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS