Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBS umum keluar BN, Musa Aman mungkin sertai PBS
Diterbitkan:  May 12, 2018 6:50 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengumumkan keluar daripada BN.

"Berdasarkan keputusan pilihan raya di peringkat persekutuan dan negeri, jelas bahawa platform BN bukan lagi sebuah gabungan politik yang mapan," kata Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada sidang media di Penampang.

Dengan pengumuman itu, PBS menjadi parti komponen keempat yang berbuat demikian, selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pairin berkata lagi, PBS menawarkan untuk memulakan platform baru bagi perhubungan politik di kalangan "parti yang berpemikiran sama" di Sabah.

"PBS menawarkan platform tunggal untuk semua wakil rakyat kerajaan negeri menjadi anggotanya untuk meneruskan perjuangan politik dan berkhidmat kepada rakyat negeri," katanya.

Anggota Umno, UPKO dan PBRS diundang untuk menyertai PBS manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal sebagai parti sendiri, katanya.

Katanya (gambar) lagi, PBS akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Beliau juga mengesahkan borang penyertaan PBS telah dihantar kepada Musa, dan Musa kemungkinan akan menyertainya.

PRU ke-14 menyaksikan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan kerjasamanya menang di 29 daripada 60 kerusi DUN negeri itu - kurang dua kerusi daripada majoriti mudah.

Musa kemudian mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah selepas merekrut dua wakil rakyat STAR, dan mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu.

Semalam, WARISAN pula mendakwa memiliki 35 ADUN selepas enam ADUN daripada BN menyertainya.

Mengulas perkara itu, Pairin mengecam usaha menjatuhkan kerajaan negeri yang menurutnya dipilih berdasarkan perlembagaan.

"Proses demokrasi perlu dihormati. Aksi buruk 'pertukaran YB' dan 'lompat (parti)' perlu dihentikan serta-merta.

"Apa yang berlaku hari ini adalah ulangan konflik PBS pada 1994. Bilakah pemimpin Sabah akan menjadi lebih matang dalam politik mereka?" soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS