Minyak Iraq: PM tidak terbabit, tapi iparnya dikaitkan
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak terbabit dalam skandal jual-minyak-untuk-makanan dengan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, tetapi siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pembabitan dua individu yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengannya.
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak terbabit dalam skandal jual-minyak-untuk-makanan dengan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, tetapi siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pembabitan dua individu yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengannya.
Laporan jawatankuasa siasatan bebas, yang dikeluarkan kelmarin, mendakwa kedua-duanya melalui sebuah syarikat Malaysia bernama Mastek telah membuat pembayaran AS$10 juta (RM38 juta) kepada regim Saddam untuk mendapatkan peruntukan besar minyak di bawah program minyak-untuk-bekalan yang ditadbirkan oleh PBB.
Kedua-duanya dikenalpasti sebagai Faek Ahmad Shareef dan Noor Asiah Mahmood. Faek, seorang pendatang Iraq, telah berkahwin dengan ipar Abdullah - saudara perempuan allahyarham isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, tetapi pasangan tersebut telah bercerai. Noor Asiah adalah seorang lagi saudara perempuan allahyarham Endon.
Mengikut laporan 623 muka surat itu, Faek mula menerima peruntukan minyak itu dalam fasa 5 progaram tersebut, dan minyak yang diperuntukkan kepadanya dalam fasa 5 dan 6, telah 'dikendalikan' oleh sebuah lagi syarikat Malaysia Tradeyear.
Bagaimanapun, Faek dikatakan tidak puas hati dengan jumlah komisen yang diterimanya dari Tradeyear dan oleh itu, memutuskan untuk mengaktifkan kembali syarikat Mastek bersama Noorasiah serta seorang lagi rakan kongsi bersama Jaya Sudhir.
Menurut laporan itu lagi, Mastek bertindak sebagai pengantara utama bagi syarikat peniaga minyak Vitol Group untuk mengekalkan akses kepada minyak mentah Iraq kerana Vitol mempunyai akses terhad kepada kontrak di bawah program itu. Vitol didakwa membiayai dan 'mengendalikan' 40 juta tong minyak di bawah kontrak Mastek.
'Tugas negara'
Selepas merima 2.5 juta tong dalam fasa 7 (Disember 1999) dan lima juta tong dalam fasa 8 (Jun 2000), peruntukan minyak kepada Mastek telah ditambah secara mendadak dalam fasa 9 kepada lebih 39.5 juta tong minyak jumlah terbesar dalam program tersebut.
Mastek dikatakan telah memperolehi jumlah yang banyak apabila syarikat itu bersetuju untuk menjelaskan bayaran tokok yang dikenakan oleh Iraq apabila Menteri Minyaknya, Amer Rashid, dikatakan memberitahu Faek dalam satu perjumpaan pada Disember 2000 untuk melakukan 'tugas untuk negaranya Iraq' bagi memastikan pengeluaran berterusan minyak mentah.
Selepas itu, Pertubuhan Pemasaran Minyak Negara Iraq (Somo) mengenakan bayaran levi berjumlah kira-kira AS$10,380,361 bagi bayaran tokok ke atas kontrak Mastek dan di antara January 2001 and April 2002, dianggarkan AS$9,803,960 dibayar ke dalam akaun Somo dalam Bank Negara Jordan.
Menurut laporan tersebut lagi, Mastek membayar jumlah sogokan tertinggi di antara 2,200 syarikat dari 66 negara yang didapati turut membayar wang sogokan tersebut.
"Peruntukan minyak untuk Shareef (Faek) diikat dengan pertimbangan politik kerana para pegawai Iraq menganggapnya sebagai seorang yang boleh membantu mengurangkan kesan sekatan terhadap Iraq, dengan memperbaiki lagi hubungan baik Iraq dengan Malaysia," kata laporan tersebut.
"Persepsi ini, sebahagiannya, disebabkan oleh hubungan keluarga Shareef dengan (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1999 dan perdana menteri sekarang, serta kemampuan Shareef menganjurkan lawatan delegasi perdagangan ke Iraq."
Laporan itu juga merujuk kepada sepucuk surat yang dikemukakan kepada jawatankuasa tersebut, yang dihantar oleh Abdullah pada bulan November 2001 kepada bekas Naib Presiden Iraq ketika itu, Taha Yassin Ramadan, yang mengesyorkan penghantaran delegasi yang diketuai Faek dan Noor Asiah ke Iraq.
Bagaimanapun, dalam keterangannya Faek berkata Abdullah mengeluarkan surat tersebut tanda sokongannya kepada sektor swasta dan surat yang sama turut diberikan kepada banyak lagi syarikat Malaysia yang lain.
Laporan tersebut yang secara rasminya disebut sebagai "Manipulasi Program Minyak-Untuk-Makanan oleh Regim Iraq", merupakan laporan muktamad yang disediakan oleh jawatankuasa siasatan bebas tiga anggota terhadap pelaksanaan program tersebut, yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Bank Persekutuan Amerika Syarikat, Paul Volcker.
'Tiada bukti'
Jawatankuasa itu juga memutuskan bahawa Abdullah yang merupakan antara individu yang sebelum ini telah dikaitkan dengan skandal tersebut tidak terbabit dalam urusan tersebut.
Nama beliau dibabitkan dalam hal tersebut apabila laporan awal yang dikeluarkan Oktober lalu, mengandungi nama "Abdullah Badawi" sebagai salah seorang daripada beratus-ratus individu, ketua negara, kerajaandan firma yang disogok oleh Saddam dalam usahanya menjejaskan sekatan yang dikenakan oleh PBB terhadap Iraq.
Laporan tersebut, yang disediakan oleh Kumpulan Penyelidikan Iraq di Amerika Syarikat, mendakwa 'Abdullah Badawi" tersebut telah diberi baucer pada tahun 2000 untuk menjual dua juta tong minyak Iraq. Keuntungan yang diperolehi dianggarkan setinggi 65 sen bagi setiap tong.
Tambahnya lagi, "Abdullah Badawi" melalui sebuah syarikat bernama Tradeyear telah menjual 1,949,900 tong, sekaligus memperolehi keuntungan bersih sehingga AS$1.3 juta.
Turut dinamakan dalam laporan tersebut ialah syarikat minyak negara Petronas, seorang bekas duta Malaysia, dua lagi syarikat Malaysia dan seorang rakyat Iraq bernama Fariq Ahmad Sharif (dipercayai Faek), yang disifatkan sebagai seorang pendatang ke Malaysia.
Bagaimanapun, laporan terbaru PBB itu tidak menemui 'sebarang bukti" yang mengaitkan perdana menteri dengan program tersebut.
Jawatankuasa juga mendapati Saddam menerima sejumlah AS$1.8 bilion dari skandal tersebut dan lebih daripada separuh daripada 4,500 syarikat dari 60 negara yang terbabit dalam program tersebut, membayar sogokan atau menjelaskan bayaran tokok kepada kerajaan Iraq./ Berita asal

