Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukti Najib terima dana 1MDB tidak diendahkan - ahli panel siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat bukti bahawa pada lewat 2015 sebanyak RM42 juta ringgit (AS$10.6 juta) dipindahkan daripada bekas sebuah anak syarikat 1MDB ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walau bagaimanapun, cadangan untuk siasatan lanjut ditolak oleh Peguam Negara, kata seorang ahli panel yang menyiasat fail kes suruhanjaya itu kepada Reuters.

Najib, yang digulingkan pada pilihan raya 9 Mei yang mengejutkan, secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan rasuah yang melibatkan 1MDB dan menegaskan dana AS$681 juta di akaun bank peribadinya adalah derma dari kerajaan Arab Saudi.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada Khamis lalu, sebelum ini berikrar akan menyiasat skandal 1MDB dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mungkin bersubahat atau mendapat faedah daripada amalan rasuah itu.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland, sedang menyiasat dakwaan bahawa AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan dari 1MDB.

Dalam temu bual dengan Reuters, ahli panel siasatan, Lim Chee Wee (foto, bawah) berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, telah dibentangkan dengan bukti oleh SPRM pada akhir tahun 2015 bahawa Najib menerima AS$10.6 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Mohamed Apandi yang diarahkan bercuti dan tugasnya sebagai peguam negara digantung pada Isnin lau, enggan meneruskan siasatan lanjut, kata Lim.

"AG enggan menyiasat lanjut walaupun bukti menunjukkan bahawa Najib menerima secara langsung atau tidak wang RM42 juta dari SRC," kata Lim.

Mohamed Apandi (foto, bawah) enggan mengulas ketika dihubungi oleh Reuters. SPRM juga tidak bertindak balas terhadap permintaan Reuters untuk ulasan.

Lim, dan seorang lagi ahli panel lain, P Sundramoorthy, seorang ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia, juga berkata bahawa Mohamed Apandi berulang kali menolak permintaan SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang daripada kerajaan asing untuk mengesan dana yang hilang dari 1MDB.

Lim berkata bahawa mereka tidak dapat mengikuti jejak wang itu kerana ia di luar negara.

"Kami terus beritahu AG... sila mohon bantuan undang-undang dari bidang kuasa lain untuk kami mengetahui jejak wang dalam bidang kuasa tersebut.

“Kami tahu pergerakan wang di Malaysia, tetapi apabila ia meninggalkan Malaysia, kami tidak tahu di mana wang itu pergi, "kata Lim.

"Berdasarkan siasatan panel, kami merasakan kes itu tidak sepatutnya ditutup kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa kes itu boleh disiasat lanjut," kata Sundramoorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak ingat jumlah yang disyaki oleh SPRM yang diterima Najib dari SRC.

Najib atau jurucakapnya gagal dihubungi melalui telefon untuk memberi komen berhubung laporan ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS