Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi NGO bantah lompat parti
Diterbitkan:  May 15, 2018 4:00 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) terus digesa untuk tidak menerima begitu saja wakil rakyat pembangkang yang ingin melompat, seperti yang dapat dilihat tidak sampai seminggu gabungan itu menjadi kerajaan.

Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) berkata rakyat memberi mandat kepada HARAPAN kerana mereka tidak mahu masalah pentadbiran lama berulang.

"Justeru penerimaan tanpa syarat terhadap Anggota Parlimen dan ADUN yang melompat kepada HARAPAN adalah pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat," kata gabungan NGO itu dalam kenyataan hari ini.

GBM berkata, bantahan itu juga kerana persaingan pelbagai parti dalam pilihan raya lebih menguntungkan negara berbanding monopoli satu parti.

"Kami menggesa pimpinan HARAPAN mengambil kira perhatian rakyat terhadap budaya melompat parti yang tidak sihat ini," katanya.

Antara yang telah berbuat demikian adalah tiga ADUN BN di Johor, iaitu Rosleli Jahari (Johor Lama), Alwiyah Talib (Endau) dan Rasman Ithnain (Sedili), yang mengumumkan menyertai BERSATU. Mereka diikuti 40 anggota parti di kawasan tersebut.

Setiausaha BERSATU Johor merangkap Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata parti menerima baik keputusan itu tetapi akan membuat tapisan dulu sebelum memberikan kelulusan.

Di Perak pula, ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin Umno Bahagian mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BERSATU. Mereka diikuti hampir 200 anggota parti.

ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi turut berbuat demikian, namun permohonannya ditolak oleh Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu selepas bantahan ekoran peranan Jamaluddin dalam kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Jamaluddin yang ketika itu bersama PKR bertindak menjadi ADUN bebas yang menyokong BN, menyebabkan Pakatan hilang majoriti dalam DUN.

Jangan jadi tikus baiki labu

AMANAH Perak pula mengambil pendekatan dengan lebih lunak, apabila berkata ia bersikap terbuka dengan penyertaan tetapi menggesa HARAPAN negeri mengambil sikap lebih berhati-hati.

"Kemasukan beramai-ramai ini jangan sampai jadi seperti tikus membaiki labu. HARAPAN tiada tempat untuk pemimpin yang hanya mementingkan perut sendiri.

"AMANAH Perak mengambil sikap berhati-hati dan memberi amaran sebarang usaha mengkhianati perjuangan HARAPAN akan kami tentang habis-habisan," kata Naib Pengerusi Dr Muhaimin Sulam.

Antara pihak yang telah menyuarakan bantahan mereka terhadap kejadian lompat parti ini adalah NGO Bersih dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Lihat Komen
ADS