Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AirAsia sangkal penafian Mavcom, kata syarikat ada bukti
Diterbitkan:  May 15, 2018 6:19 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

AirAsia menyangkal penafian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bahawa mereka memaksa syarikat itu membatalkan 120 penerbangan tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilhan Raya Umum ke-14 minggu lalu.

AirAsia berkata dakwaan yang dibuat oleh ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Tan Sri Tony Fernandes disokong dengan bukti, termasuk komunikasi dengan Pengerusi Eksekutif Mavcom Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdullah Ahmad.

"AirAsia tegas menyangkal laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terhadap CEO Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

"Kami ingin menekankan bahawa video yang dikeluarkan oleh Fernandes pada 13 Mei disokong sepenuhnya dengan bukti dan fakta termasuk komunikasi langsung antara Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Pengerusi Eksekutif Mavcom Abdullah Ahmad.

"Kami akan mendedahkan bukti dan fakta kepada pihak berkuasa pada masa yang betul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Fernandes, dalam mesej video bertarikh 13 Mei, memohon maaf kerana tunduk pada tekanan dengan mempromosikan kempen pilihan raya umum (PRU) bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Fernandes, AirAsia enggan meminta Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz meletakkan jawatan meskipun Putrajaya menekan beliau susulan tindakan bekas menteri itu yang sering mengkritik BN.

Fernandes menjelaskan, dia pula menyebabkan kemarahan kerajaan BN ketika itu apabila memperkenalkan 120 penerbangan tambahan untuk kemudahan 26,000 pengundi pulang mengundi, selain menurunkan harga tiket sempena PRU ke-14.

"Dalam tempoh 24 jam, kami dipanggi Mavcom, dan diarahkan membatalkan semua penerbangan itu. Perkara itu memberi tekanan yang hebat kepada kami.

"Selain Rafidah yang kami tidak dapat 'diamkan', kami tambah penerbangan untuk bawa rakyat pulang mengundi, pada harga yang rendah,” katanya.

Mavcom awal hari ini menafikan dakwaan itu dan berkata suruhanjaya itu meluluskan sehingga 66 penerbangan tambahan yang dimohon syarikat penerbangan tambang murah itu pada 23 April. Ia turut membuat laporan polis.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS