Kemelut kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjug (GPMS) belum menunjukkan tanda-tanda akan reda walaupun Perdana Menteri mahu kedua-dua pihak yang bertelagah, menyelesaikan masalah mengikut perlembagaan pertubuhan itu.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, GPMS adalah sebuah pertubuhan berdaftar dan mempunyai perlembagaan, oleh itu semua ahlinya harus mematuhi peraturan dan perlembagaan sebagai panduan menyelesaikan masalah.

Sabtu lalu, barisan kepimpinan sedia ada yang dipimpin oleh Datuk Suhaimi Ibrahim membuat laporan polis berhubung penyelewengan kewangan yang didakwa dilakukan oleh anggota Majlis Tertinggi GPMS yang dikenakan tindakan disiplin baru-baru lalu.

Setiausaha Agung, Sobri Ahmad berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi.

"Sekarang kita serahkan semua kepada siasatan polis, laporan itu membabitkan semua ahli MT yang dikenakan tindakan disiplin dalam mesyuarat pada 25 Oktober lalu," katanya.

Beliau juga menyatakan kepimpinan GPMS yang diketuai oleh Suhaimi telah menghubungi peguam untuk menangani kemelut ini.

"Kami memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan atau dakwaan yang memburukkan nama baik GPMS dan kepimpinan yang sedia ada," tegas beliau.

Pendaftar Pertubuhan

Selain itu malaysiakini juga difahamkan Suhaimi akan menemui dan menyerahkan minit-minit mesyuarat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mengesahkan kedudukan beliau dan tindakan yang diambil dalam mesyuarat MT pada 25 Oktober lalu.

Dalam mesyuarat 25 Oktober itu, MT GPMS memecat Timbalan Pengerusinya, Shahrir Rejab dan bekas Setiausaha Agung, Syed Anuar Syed Mohamad serta menggantung seorang ahli MT nya, Jais Abdul Karim.

Menurut sumber, ini merupakan langkah terakhir dan terbaik Suhaimi untuk membuktikan segala tindakannya adalah mengikut perlembagan, sekaligus menghapuskan segala kekeliruan berhubung kedudukan barisan kepimpinan GPMS sekarang.

Kedudukan Suhaimi dan barisan MT terumbang-ambing apabila Shahrir bersama enam anggota MT GPMS pada Rabu lalu mengumumkan mengambilalih kuasa kepimpinan pertubuhan itu.

Shahrir dan kumpulannya juga mengumumkan penggantungan Suhaimi daripada jawatannya Jumaat lalu dan beliau (Shahrir) dilantik sebagai pemangku presiden gabungan itu.

Kongres Kebangkitan Bangsa

Sejak kemelut ini didedahkan di media masaa, kedua-dua pihak saling mengaku telah mematuhi peraturan dan perlembagaan GPMS.

Menyentuh "status quo" barisan kepimpinan GPMS yang diketuai oleh Suhaimi, Sobri berkata ia masih tidak berubah dan berfungsi seperti biasa.

"Barisan pimpinan Datuk Suhaimi adalah barisan yang dipilih dalam mesyuarat oleh ahli-ahli. Kita tetap beroperasi seperti biasa. Ibu pejabat GPMS cuma ditutup sementara untuk cuti hari raya."

"Kita akan meneruskan Kongres Kebangkitan Bangsa yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 dan 17 Disember depan. Persidangan agung khas juga akan diadakan pada 17 dan 18 Disember sebagaimana yang dipersetujui oleh mesyuarat MT pada 25 Oktober lalu,"jelasnya.

Mesyuarat MT itu, katanya, dihadiri 16 dari 22 ahli MT GPMS, oleh itu ia sah dan berkuatkuasa serta-merta.

Sobri berharap, ahli-ahli GPMS tidak terkeliru dengan dakwaan-dakwaan palsu dan tindakan tidak sah yang dilakukan oleh kumpulan yang diketuai oleh Shahrir.

"Semua ahli mesti akur dengan nasihat Perdana Menteri, kita kembali kepada perlembagaan pertubuhan. Kita serahkan kepada keputusan ahli untuk menentukan siapa pemimpin pilihan mereka nanti ," ujarnya.