Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Geledah rumah Najib: Tidak ada niat seksa sesiapa, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pihak polis mempunyai alasan yang cukup untuk menyerbu rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tengah malam semalam.

Sebaliknya, Mahathir berkata proses yang berakhir pagi tadi, adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard polis.

Di pihaknya, Mahathir berkata beliau tidak ada mahu polis "menyeksakan" mana-mana orang dan bahawa semua kes perlu disiasat mengikut undang-undang.

"Polis ada SOP mereka, saya tidak tahu mereka akan melakukan serbuan pada waktu malam, arahan saya sangat jelas.

"Saya tidak mahu menyeksa sesiapa atau perkara seperti itu. Saya mahu setiap orang dilayan dengan baik," kata Mahathir pada sidang akhbar di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serbuan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur yang menerima bidasan pelbagai pihak kerana dilakukan pada malam hari.

Polis mula menggelidah rumah Najib kira-kira jam 10.15 malam semasa tiba dengan puluhan kereta dan sebuah trak Black Maria, yang sering digunakan untuk mengangkut tahanan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihaknya menggeledah kediaman bekas perdana menteri itu di Taman Duta di Kuala Lumpur malam tadi.

Bernama melaporkan terdapat 16 kenderaan polis dan sebuah trak memasuki kediaman Najib pada pukul 10.15 malam  bagi menjalankan siasatan dan susulan itu, kawasan sekitar kediamannya dikerumuni pengamal media tempatan dan asing selain orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini.

Polis dilihat turut menggeledah kediaman Najib di sebuah apartmen mewah di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Mengenai serbuan itu juga, perdana menteri menjelaskan polis mungkin mempunyai alasan untuk melakukan tindakan itu tetapi beliau tidak dimaklumkan alasan tersebut.

Ditanya sama ada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat susulan laporan bahawa polis merampas banyak beg tangan dalam serbuan itu, Dr Mahathir berkata pihak berkuasa melakukan siasatan  tanpa mengira sesiapa.

"Kalau ada kes kita ambil tindakan. Terpulang kepada mereka yang melakukan siasatan, siasatan ini melibatkan beberapa agensi kerajaan atau kementerian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Audit Negara dan  badan lain yang mempunyai maklumat," katanya.

Najib dan Rosmah telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lalu, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pakatan Harapan yang dipengerusikan Dr Mahathir menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. 

 

Lihat Komen
ADS