Fuzi: Saya akan teliti dakwaan Shukri jadi mangsa gangguan
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan meneliti dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull yang beliau menjadi mangsa gangguan ketika berada di Amerika Syarikat semasa menjalankan siasatan berkaitan 1MDB.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana ia berlaku sebelum masa saya tetapi saya akan menelitinya dengan serius," katanya seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia (CNA).
Pada sidang akhbar semalam, Shukri, yang semasa menjalankan siasatan itu pada 2015 merupakan timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, berkata siasatannya menyebabkan beliau menjadi mangsa gangguan, termasuk diekori semasa di luar negara.
Katanya, beliau diekori dan gambarnya dirakam oleh individu yang dikenalinya ketika berada di Washington DC.
Shukri dilaporkan berkata beliau mengambil foto individu-individu berkenaan dan menyerahkannya kepada Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki untuk diserahkan kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
SPRM menyiasat bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berhubung pemindahan RM42 juta dari SRC International ke dalam akuan peribadinya.
Sebuah pasukan petugas ditubuhkan pada tahun 2015 untuk menyiasat dakwaan salah pengurusan dana 1MDB.
Pasukan petugas itu terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Fuzi juga berkata pihak polis sedang cuba menyelesaikan siasatan 1MDB secepat mungkin.
"Kerana siasatan dijalankan bukan sahaja oleh pihak polis tetapi oleh banyak pihak lain. Di pihak kami, kami sedang cuba untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin," katanya.
Polis telah membentuk pasukan penyiasatan terhadap 1MDB pada 2016 untuk meneliti laporan mengenai 1MDB yang disediakan oleh Jawatankuasa Akaun Awam (PAC).
Polis ketika itu menyiasat 1MDB di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah pecah amanah dan Seksyen 420 mengenai kanun yang sama untuk penipuan.

