Kementerian Komunikasi dan Multimedia memulakan siasatan terhadap isu kebocoran data, gangguan panggilan telefon pada hari pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu berlangsung serta sekatan terhadap beberapa portal berita pada malam berkenan.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata beliau sudah meminta agar laporan insiden itu diserahkan kepadanya.

Katanya laporan yang diminta termasuk serangan panggilan spam yang dilakukan secara automatik - dikenali sebagai BOTS.

Awalnya beberapa calon serta pemimpin Pakatan Harapan mengadu berdepan masalah panggilan berkenaan, sebelum wakil BN turut mengadu mengenainya.

Antara mereka yang menerima panggilan telefon dipercayai dari luar negara itu ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng.

Gangguan berkenaan didakwa turut dialami Datuk Seri Salleh Said Keruak sendiri yang sebelum ini menjadi menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kemudian menjalankan siasatan dan berjanji tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab apabila mereka dikenal pasti.

“Siasatan awal kami mendapati ia sebab teknikal daripada serangan BOTS yang dilancarkan oleh pihak tidak dikenali dari pelbagai sumber dengan sasaran berbeza tanpa mengambil kira parti politik,” kata MCMC dalam kenyataan pada hari sama.

Sedia terima cadangan

Untuk rekod kemunculan BOTS juga dikesan beberapa minggu sebelum PRU ke-14 berlangsung apabila akaun pengguna Twitter dibanjiri dengan mesej prokerajaan BN dan antipembangkang (HARAPAN).

BOTS ialah program di Internet yang melakukan fungsi berulang seperti menghantar mesej pada blog, kumpulan berita dan rangkaian sosial atau mencari maklumat.

Sesetengah BOTS berjalan secara automatik, sementara yang lain melaksanakan arahan apabila mereka menerima input tertentu.

Pada malam selepas PRU ke-14 diadakan beberapa laman sesawang turut disekat. Antaranya ialah undi.info kendalian Malaysiakini yang memaparkan keputusan terkini pilihan raya pada hari berkenaan. 

Gobind juga berkata kerajaan turut melakukan semakan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi melihat kemungkinan ia dipinda.

"Saya sedia menerima cadangan daripada semua pihak yang berkaitan mengenai perkara perkara ini," katanya.

Menurut anggota parlimen Puchong itu lagi beliau akan berhubung dengan peguam dari Lawyers For Liberty, Eric Paulsen, serta Majlis Peguam untuk membincangkan isu berkenaan.