Pesuruhjaya tinggi British berpantun 'rendang crispy'
Sempena sambutan Aidilfitri, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia HE Vicki Treadell menujukan pantun buat rakyat Malaysia yang menyentuh tentang insiden 'rendang crispy'.
Melalui klip video yang dimuat naik di Facebook, Treadell menyampaikan pantun lapan keratnya mengucapkan salam Aidilfitri dan memohon maaf berhubung insiden berkenaan.
Pantun itu berbunyi:
Tiba masanya Syawal menjelma
Jiran dan rakan, sanak saudara
Marilah kita menyambut bersama
Salah silap saling memaafkan
Termasuk episod rendang crispy
Setulus ikhlas daripada kami
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Treadell merujuk kepada tindakan juri program masakan MasterChef UK yang mengkritik masakan rendang ayam yang dimasak peserta dari Malaysia, Zaleha Kadir sebagai tidak rangup (crispy).
Susulan itu, ia telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan Masyarakat.
Selain pemimpin politik dan selebriti, Treadell merupakan antara yang tampil mempertahankan rendang ayam masakan Zaleha dan menjelaskan bahawa masakan ikonik rakyat Malaysia itu memang tidak seharusnya rangup.
Sementara itu, lebih menarik perhatian, pada kiriman video yang dimuat naik Treadell semalam, empunya badan, Zaleha sendiri turut meninggalkan komen.
Zaleha membalas pantun Treadell yang berbunyi:
Terima kasih ucapan diberi,
Jangan risau rakyat Malaysia semua baik hati,
Sila nikmati rendang resepi yang asli,
Makanan kesukaaan kami ibarat anda punya Scone and Tea.
Zaleha turut sempat berterima kasih dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Treadell.

