Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'19 ADUN pembangkang langgar peraturan angkat sumpah'

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan 19 ADUN Sabah yang mengangkat sumpah di hadapan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) 11 Jun lepas adalah melanggar peraturan.

Mereka ialah sembilan daripada Umno; enam daripada Parti Bersatu Sabah; dua wakil Parti Solidariti Tanah Airku serta masing-masing seorang daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah dan UPKO.

Mohd Shafie berkata, “Kita ada peraturan yang perlu dipatuhi… mereka (ADUN pembangkang) boleh angkat sumpah kerana mereka ada hak untuk angkat sumpah.

“Tetapi peraturan mesti ada dan kerajaan negeri serta Yang Dipertua Negeri Sabah perlu dimaklumkan… Bukan datang ke DUN dan terus angkat sumpah serta merta.

“Yang Dipertua Negeri Sabah telah dimaklumkan bahawa jadual persidangan DUN akan diadakan pada 2 Julai ini dan mereka boleh mengangkat sumpah pada masa berkenaan.

“Saya sudah lama dalam parlimen dan saya tahu peraturannya dan ia perlu diikuti… dan perkara ini adalah membimbangkan kita,” katanya mengulas tindakan 19 ADUN itu yang tidak menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Jun lepas, tetapi mengangkat sumpah di hadapan speaker keesokannya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri jemaah Menteri Kabinet Negeri, di Kota Kinabalu hari ini, ketua menteri berkata sangat penting untuk pastikan disiplin wujud dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata Sabah kini dipimpin oleh kerajaan baharu dan beberapa perubahan perlu dilakukan untuk memastikan peraturan sedia ada dipatuhi khususnya oleh ADUN daripada parti pembangkang.

“Penting untuk kita pastikan supaya ada disiplin dalam pentadbiran negeri… apa sahaja yang mereka (ADUN pembangkang) lakukan … kerajaan negeri perlu mengetahuinya dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin juga perlu diberitahu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS