Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perselisihan dalam PKR berhubung pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor turut sampai ke pimpinan parti itu di utara.

Timbalan Ketua Pemuda PKR dan Exco Pulau Pinang Afif Bahardin mempersoalkan Dr Idris Ahmad - yang berkata dirinya sebagai pilihan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi itu - sama ada beliau sanggup melawan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu.

Afif menyangkal dakwaan Idris pagi tadi bahawa Amirudin tidak mendapat sokongan parti komponen HARAPAN untuk menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Nama Amirudin dicadangkan parti dan diterima Sultan Selangor. Ada konsensus untuk memilih Amirudin, ketua umum kami juga menyokongnya.

"Soalan saya adakah Idris mahu melawan Anwar? Sila rujuk kenyataan terbaru pemimpin kita di Twitter," katanya kepada Malaysiakini.

Afif (gambar) merujuk kenyataan Anwar yang menggesa semua pihak menyokong Amirudin dan berkata sebarang pertikaian yang timbul boleh diselesaikan dengan cara baik.

Dalam sidang medianya, Idris yang merupakan ADUN Ijok mendakwa beliau mendapat sokongan semua parti komponen HARAPAN manakala Amirudin hanya disokong Azmin.

Untuk menyokong dakwaan itu, Idris menunjukkan salinan surat sokongan yang ditandatangani wakil empat parti HARAPAN, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.

'Meneruskan legasi Azmin'

Afif juga menyuarakan kegembiraannya dengan pelantikan Amirudin dan menyifatkan ADUN Sungai Tua itu layak memimpin pentadbiran negeri berdasarkan rekod sebagai wakil rakyat dan exco.

"Saya berharap Amirudin dapat meneruskan prestasi cemerlang Azmin ketika memimpin Selangor dan pasukannya, selain menumpukan kepada usaha memberdaya golongan muda untuk mencapai tahap lebih tinggi di negeri itu," katanya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Anwar dan Wan Azizah kepada menaruh kepercayaan kepada pemimpin muda untuk memimpin pentadbiran negeri.

Lihat Komen
ADS