Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jualan Harapan didakwa tak dapat kerjasama FAMA
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 3:40 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal Program Jualan Harapan Rakyat anjurannya bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Putrajaya tidak mendapat kerjasama pihak agensi kerajaan FAMA.

"Malangnya program itu tidak mendapat sokongan pihak FAMA yang bertanggungjawab ke atas tapak pasar.

"Kami telah melakukan promosi dan meletakkan tanda harga mengikut syarat yang ditetapkan, malah pada peringkat awal pihak FAMA telah memberi kebenaran bagi menjalankan program di tapak milik FAMA," maklum Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata program itu mempromosikan jualan barangan keperluan harian yang jauh lebih murah itu bertujuan mengurangkan kos barangan harian bagi rakyat.

Harga barang murah

"Harga barangan di Jualan Harapan Rakyat kami adalah jauh lebih murah, hampir separuh dari harga jualan biasa," katanya.

Nadzim mendakwa apabila pihaknya meminta kebenaran melanjutkan program jualannya, FAMA tidak memberi maklum balas kepada pihak penganjur.

"Namun, apabila pihak penganjur menulis surat untuk meminta kebenaran melanjutkan program Jualan Harapan Rakyat, FAMA tidak lagi memberi kerjasama dan tidak memberi sebarang respon kepada penganjur.

Katanya, jualan yang dijadualkan pada hari ini terpaksa dijalankan di tempat letak kereta di luar premis FAMA dalam keadaan hujan dan tidak berbumbung.

Malaysiakini telah menghubungi FAMA dan sedang mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan ini daripada agensi kerajaan itu.

Dalam isu yang lain, program Jualan Harapan Rakyat berkenaan mula mendapat perhatian pada awal bulan ini, apabila program itu memaparkan logo FAMA dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketua ARMADA BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahman  menegur Pakatan Harapan kerana dilihat menyalahgunakan jentera kerajaan.

"Jangan ulangi kesilapan yang lepas. Jangan memperalatkan agensi kerajaan untuk kepentingan parti.

"Kenapa ada logo HARAPAN?" Soal anggota parlimen Muar itu.

Kesilapan papar logo FAMA

Bagaimanapun, salah satu pihak penganjur program Jualan Harapan Rakyat pada 11 Jun lalu mengakui menjadi suatu kesilapan memaparkan logo Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tanpa izin pada papan tanda dan sepanduknya .

Pengarah Urusan Nurani Resources Sdn Bhd, Ali Hassan berkata program yang bertujuan untuk menjual barangan basah pada harga murah masih diteruskan tanpa menggunakan kementerian pertanian dan logo Fama.

FAMA tidak memberi izin penggunaan logonya dalam "Program Jualan Harapan Rakyat".

"Pihak Kementerian dan FAMA mengalu-alukan sebarang program jualan murah yang dilaksanakan oleh pihak luar, walau bagaimanapun penggunaan logo Kementerian dan FAMA tidak boleh digunakan tanpa kebenaran," kata FAMA dalam suatu kenyataan pada 11 Jun 2018.

Lihat Komen
ADS