Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki 41 tahun, menafikan pihaknya terhutang budi sehingga sanggup mengahwinkan anaknya pada usia muda.

Warga Thailand, Madroseh Romadsa, 49, dari Kampung Nara, memberitahu dia tidak pernah berhutang dengan menantu, Che Abdul Karim Che Hamid, sepanjang mengenalinya sejak 20 tahun lalu.

Katanya, dakwaan 'menjual' anak itu adalah tuduhan tidak berasas kerana mereka berkahwin atas dasar suka sama suka, lapor Mstar.

"Kenapa saya perlu menjual anak sekiranya berhutang? Lebih baik saya lari ke Thailand sekiranya betul saya mahu lari dari hutang.

"Saya terkilan bila ada tuduhan begitu kerana mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Tiada paksaan ataupun agenda lain," katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Panggung Lalat, semalam.

Tambah Madroseh, dia dan isteri, Ameenoh Hitae, 47 menerima lamaran Che Abdul Karim selepas menantunya itu menyatakan kesungguhan untuk menjadikan anaknya, Masaryu sebagai isteri.

ADUN minta henti spekulasi

Sementara itu, ADUN Galas (BN), Mohd Syahbuddin Hashim meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai pernikahan kanak-kanak bawah umur itu. 

"Hentikan segala spekulasi kerana ia boleh membawa kesan yang tidak baik di kalangan masyarakat," katanya selepas mengunjungi keluarga berkenaan di kediaman mereka di Kampung Panggung Lalat, Isnin.

Menurut Syahbuddin, maklumat terperinci daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati tiada paksaan dalam pernikahan pasangan itu.

Beliau juga meminta kerajaan meneliti dengan baik kes berkenaan kerana melibatkan kesahihan dari sudut agama dan perundangan negara.

"Kerajaan diharapkan dapat mengambil perhatian dalam kes ini kerana mungkin ramai lagi yang berada dalam situasi ini tanpa kita ketahui.

"Begitu juga dengan spekulasi tular dimana ia patut dihentikan kerana boleh mengundang pelbagai sisi negatif tanpa mengetahui kebenaran," katanya lagi.

Terdahulu, pelbagai pihak mengkritik perkahwinan bawah umur itu yang dianggap melanggar undang-undang dan tidak mendapat kelulusan mahkamah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata perkahwinan tersebut tidak sah dan pasangan itu perlu dipisahkan.

Badan Peguam Malaysia pula menggesa kerajaan menubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak untuk mengkaji perkahwinan bawah umur dan isu lain berkaitan kanak-kanak di Malaysia.

Pada masa sama, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk meminda Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan, NCWO juga mahu kerajaan mendakwa lelaki yang mengahwini kanak-kanak terbabit sebagai pelaku jenayah.

Sementara itu, Mufti perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata wali seharusnya menjadi pelindung dan tidak memangsakan anaknya dengan menikahkannya tanpa rela walaupun atas faktor kemiskinan.

“Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu peroleh keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali.

"Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa,” kata Asri.