Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong Najib lancar kutipan derma
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Penyokong Datuk Seri Najib Razak kini memulakan tabung untuk memberikan sokongan kewangan kepada bekas perdana menteri itu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata langkah tersebut diambil kerana mengambil kira keadaan bekas presiden mereka yang tidak mampu menjelaskan ikat jamin ditetapkan mahkamah semalam.

Ketika dihubungi Razlan berkata tidak wajar untuk anggota Umno melupakan Najib ketika bekas presiden mereka itu ketika ini.

"Jangan kita tinggalkan kawan kita semasa (dia) susah," katanya kepada Malaysiakini.

Razlan berkata Tabung Solidariti Datuk Seri Najib itu dilancarkan hari ini dan setakat awal petang sebanyak RM11,000 sudah terkumpul.

Terdahulu The Star Online melaporkan Razlan sebagai berkata kutipan tabung berkenaan dilakukan kerana setakat ini Najib belum baru dapat menjelaskan keseluruhan jumlah ikat jamin yang dikenakan kepadanya.

Akan serah kepada anak

Justeru katanya mereka mahu memberikan sokongan moral dan kewangan terhadap Najib.

"Najib hanya dapat membayar RM500,000 dan untuk mencukupkan jumlah jaminan beliau terpaksa menyerahkan surat milik rumahnya," katanya.

Semalam Najib dibawa ke mahkamah untuk dihadapkan dengan tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berhubung dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ia melibatkan jumlah sehingga RM42 juta.

Sementara menunggu perbicaraan mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM1 juta dan pasport awam dan diplomatiknya diserahkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun disebabkan akaun beliau dibekukan hanya sebahagian daripada ikat jamin itu dibayar dengan wang manakala selebihnya menggunakan sandaran hak milik rumah.

Mahkamah juga membenarkan bayaran tersebut dijelaskan secara ansuran, iaitu semalam dan Isnin ini.

Jaminan itu dibayar oleh anak Najib - Mohd Norashman dan Nooryana Najwa - di sebuah bank di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Kata Razlan, wang yang mereka kumpulkan itu akan diserahkan kepada anak Najib.

"Isnin ini kami akan kami sampaikan kepada anak beliau di mahkamah pada jam12 tengahari," katanya.

Lihat Komen
ADS