Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ABIM gesa pinda kurikulum UEC sebelum diiktiraf
Diterbitkan:  Jul 9, 2018 5:04 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Kurikulum Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu dipinda sebelum kementerian pendidikan mengiktirafnya, gesa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

"Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada cadangan untuk mengiktiraf UEC sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor awam.

"Justeru, dalam isu pengiktirafan UEC, tidak dapat tidak, satu kajian ke arah meminda kurikulum UEC agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan amat perlu dititikberatkan terlebih dahulu," kata Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam suatu kenyataan hari ini.

ABIM mengambil maklum cadangan ini bertujuan memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar yang menamatkan pengajian mereka dengan sijil UEC setiap tahun di enam puluh sekolah menengah persendirian Cina.

Bagaimanapun, Faisal berkata standard subjek Bahasa Melayu dalam UEC perlu setaraf dengan subjek sama dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rombak kurikulum subjek Sejarah

"Antaranya termasuklah meningkatkan standard subjek Bahasa Melayu dalam UEC supaya setaraf dengan subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta merombak kurikulum dalam subjek Sejarah agar ia menepati silibus yang ditetapkan dan beberapa pertimbangan lain yang perlu diberikan perhatian.

ABIM juga berkata permintaan pengiktirafan sijil UEC boleh mencetuskan kekeliruan pendidikan negara dan berkemungkinan polarisasi kaum dan agama akan terus melebar.

"Desakan ini (pengiktirafan UEC) hanya akan mencetuskan kekeliruan yang boleh menggugat kesepaduan orientasi pendidikan negara.

"Justeru, berkemungkinan besar polarisasi kaum dan agama akan terus melebar sekiranya persijilan seperti ini yang berada di luar skop dan aliran kebangsaan diterima," katanya.

Tidak terburu-buru

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru mengenai cadangan mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pula mahu isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selesai sebelum hujung tahun ini.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto HARAPAN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Maknanya UEC diterima dalam syarat perjawatan di peringkat negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS