Portal berita Malaysiakini hari ini diberi kebenaran oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati laporan portal itu mengenai Raub Australian Gold Mine (RAGM) memfitnah syarikat berkenaan.

Mahkamah Rayuan pada 11 Januari lalu mengarahkan portal itu untuk membayar ganti rugi RM200,000 dan kos guaman sebanyak RM150,000 kepada syarikat berkenaan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali yang mengetuai panel hari ini berkata portal berita itu telah memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk rayuannya didengar dengan merit penuhnya pada tarikh akan datang.

Beliau berkata persoalan undang-undang untuk didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan akan menumpukan kepada pembelaan terhadap pelaporan dan isu-isu ganti rugi.

Beliau meminta supaya 14 persoalan undang-undang yang dikemukakan disusun semula untuk ditentukan oleh mahkamah persekutuan.

"Keputusan hari ini adalah sebulat suara," katanya.

Hakim lain bersidang sama adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Aziah Ali.

Pada 11 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengarahkan Malaysiakini dan tiga defendan lain membayar ganti rugi RM200,000 kepada RAGM dan RM150,000 sebagai kos perundangan.

Mahkamah Rayuan mendapati tiga artikel dan dua video yang diterbitkan pada 2012 berkaitan aktiviti perlombongan emas oleh RAGM di Bukit Koman, Pahang, tidak seimbang dan sepihak kerana tidak menyertakan pandangan balas Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Tanah dan Galian.

Pada 23 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan RAGM terhadap Malaysiakini serta tiga defendan lain yang menjadi anggota sidang pengarang portal berkenaan.

Malaysiakini diwakili oleh peguam Datuk Dr Cyrus Das, James Khong dan Syahredzan manakala RAGM oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Sunil Abraham.

[Baca berita penuh]