Mahkamah minta peguam 1MDB cari cara lain komunikasi
Mahkamah Persekutuan meminta sebuah firma guaman untuk menimbangkan kaedah lain untuk berkomunikasi dengan anak guamnya sebelum menarik diri daripada mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam saman dikemukakan oleh Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1).
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali yang mempengerusikan panel tiga hakim memberitahu peguam Michelle Lai untuk menggunakan “perkhidmatan gantian" apabila beliau (Lai) memaklumkan mahkamah bahawa firmanya gagal mendapatkan arahan daripada anak guamnya.
Lai yang mewakili firma guaman Messrs Tan Hock Chuan & Co, berkata mereka pergi ke pejabat 1MDB tetapi ia ditutup dan mereka juga cuba berkomunikasi menerusi faks tetapi gagal.
Beliau berkata permohonan hari ini adalah bagi firma itu menarik diri daripada mewakili 1MDB dalam saman itu.
Firma itu mewakili 1MDB dalam saman yang dikemukakan oleh GANT1.
Zainun memberitahu Lai bahawa beliau boleh meletakkan iklan sebagai perkhidmatan gantian dan jika beliau gagal dengan itu beliau boleh memfailkan afidavit untuk menarik diri.
Zainun kemudian menjadualkan semula perkara itu untuk pengurusan kes pada 13 Ogos.
Turut bersidang bersama-sama Zainun ialah Hakim Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Tan Sri Aziah Ali.
"Jika anda mahu menarik diri daripada mewakili anak guam anda, anak guam anda perlu diberitahu, supaya adil kepada mereka," kata Aziah kepada Lai.
Sebanyak 10 anggota GANT1 diketuai Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Muhammad Faiz Fadzil, memfailkan saman itu terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB dan kerajaan pada Julai tahun lepas.
Saman itu berhubung kebenaran diberikan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London membabitkan perjanjian dimeterai 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) berhubung bantuan bon US$3.5 bilion didakwa diberikan kepada 1MDB oleh IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS (Aabar Asli) bagi pembelian loji tenaga.
Di Mahkamah Tinggi, Najib, 1MDB dan kerajaan gagal membatalkan saman itu apabila Hakim Hue Siew Kheng mengarahkan kes itu dibicarakan. Bagaimanapun ia diubah oleh Mahkamah Rayuan pada awal tahun ini, mendorong Gant1 membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.