Pemuda PAS: Petronas patut bayar zakat
Pergerakan Pemuda PAS menganggap tindakan Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak membayar zakat perniagaan sebagai satu percubaan untuk lari daripada tanggungjawab sosialnya bagi membantu umat Islam negara ini.
Pergerakan Pemuda PAS menganggap tindakan Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak membayar zakat perniagaan sebagai satu percubaan untuk lari daripada tanggungjawab sosialnya bagi membantu umat Islam negara ini.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, syarikat petroleum nasional itu tidak perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, baru mahu membayar zakat perniagaan dan zakat hasil bumi yang diwajibkan ke atas umat Islam.
"Dari segi perbahasan di Parlimen, saya sudah membangkitkan soal ini di peringkat jawatankuasa kewangan Kementerian Kewangan, tetapi tidak mendapat jawapan yang khusus.
"Petronas dan anak-anak syarikatnya perlu sedar tanggungjawab sosialnya bagi membantu institusi zakat dan pembangunan pendidikan umat Islam negara ini," ujar beliau ketika dihubungi hari ini.
Salahuddin yang merupakan ahli Parlimen Kubang Kerian mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat semalam yang mengatakan
Petronas
tidak pernah membayar zakat.
Menurut menteri itu, Petronas sedang menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menentukan sama ada ia perlu membayar zakat atau tidak.
Ketua Pemuda PAS itu berkata, daripada kiraan kasarnya, dengan pendapatan Petronas yang kira-kira RM58 bilion, jika ia membayar zakat hasil galian yang dikenakan sehingga 20 peratus itu, zakat yang perlu dibayar ialah RM11.8 bilion.
"Cuba bayangkan jika zakat sebanyak itu dibayar, orang Melayu Islam boleh mendapat pendidikan percuma dari pra sekolah hingga ke peringkat PhD," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Mohd Rais Alias pula memberitahu pihaknya telah memberi penerangan kepada Petronas berhubung pembayaran zakat ini.
"Tugas kita hanya memberi penerangan dan cadangan, terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri sama ada hendak membayar atau tidak," ujarnya.
Mohd Rais bagaimanapun mengalu-alukan usaha ahli-ahli parlimen membangkitkan isu tersebut kerana ia akan menyedarkan sektor korporat dan indvidu tentang tanggungjawab mereka membayar zakat.
Sementara itu malaysiakini difahamkan, Petronas tidak membayar zakat kerana ia berpendapat sebagai sebuah entiti 100 peratus milik kerajaan, ia tidak dikenakan zakat.
Bagaimanapun, kalangan pemerhati mempertikaikan kedudukan anak-anak syarikatnya, termasuk Petronas Dagangan Berhad yang bukannya 100 peratus milik kerajaan.
Syarikat-syraikat berkaitan kerajaan (CLC) yang lain seperti TNB, Telekom Malaysia dan anak-anak syarikat Tabung Haji yang sebahagian saham dimiliki oleh orang ramai, telah membayar zakat perniagaan.
Menurut mereka, anak-anak syarikat Petronas patut mengikut jejak langkah GLC lain yang membayar zakat mereka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.