Notis kekosongan kerusi Balakong diserah minggu depan
Notis kekosongan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Balakong dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan.
Perkara itu disahkan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di Shah Alam hari ini.
“Dijangkakan (penyerahan notis kekosongan kerusi DUN Balakong) minggu depan,” katanya ringkas.
Kerusi DUN Balakong kosong ekoran kematian penyandangnya Ng Tien Chee dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi Jumaat.
Dalam kejadian itu, Ng, 40, yang memandu kenderaan jenis Nissan X-Trail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang maut selepas melanggar belakang sebuah lori di km11.7 Lebuhraya Grand Saga.
Wakil rakyat DAP itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas Ng mengekalkan kerusi Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.
- Bernama


确定要删除留言?
此后将无法恢复