Kabinet luluskan lawatan Daim ke China, kata Syed Saddiq
Lawatan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin ke China diluluskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan oleh CEP tidak boleh diluluskan dengan sendiri.
“Contohnya, apabila keputusan untuk menghantar Tun Daim untuk berunding sebelum lawatan rasmi perdana menteri ke China, prosedur yang perlu dilakukan adalah memaklumkan anggota kabinet dan mendapat persetujuan dari perdana menteri.
“Tidak ada isu anggota CEP lebih berkuasa daripada kabinet dan CEP ini tidak berupaya untuk bertindak sesuka hati dan melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan hari ini.
Daim melawat Beijing minggu lalu dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Menteri Luar, Wang Yi.
Hakikat bahawa beliau telah diberikan sambutan rasmi oleh Beijing, walaupun bukan menjadi sebahagian daripada anggota kabinet, menyaksikan ada pihak yang membuat pelbagai spekulasi.
Antara lain, bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin meminta Dewan Rakyat menjelaskan sama ada perjalanan Daim ke China membuktikan bahawa badan penasihat itu sebenarnya lebih berkuasa daripada jemaah menteri.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu Malaysiakini dalam satu wawancara bahawa bekas menteri kewangan itu dihantar ke China sebagai "utusan khas" menjelang kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan bulan depan.
"Utusan khas biasanya dihantar atas sebab-sebab khas bagi mencapai keputusan khas," kata Saifuddin.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata nasihat CEP tidak semestinya diterima pakai oleh kabinet.
Katanya, tempoh kuasa yang diberi kepada CEP untuk menasihat Kabinet adalah hanya selama 100 hari (berakhir pada 20 Ogos) dan setakat ini banyak nasihat dan cadangan telah dibawa kepada kerajaan.
“Tidak ada isu atau masalah pertindihan kuasa yang pernah dilakukan CEP,” katanya.
Syed Saddiq juga berkata bahawa beliau bangga bahawa kerajaan menghargai kebolehan pemimpin veteran untuk berbakti sebagai anggota CEP daripada terus menggaji konsultan asing dengan puluhan ribu ringgit wang rakyat.
“Saya percaya rakyat Malaysia akan menilai prestasi CEP dengan telus dan adil supaya usaha murni tokoh-tokoh ini semua dijadikan inspirasi, bukan dipolitikkan,” katanya.
CEP dibentuk pada 12 Mei ketika kabinet penuh Mahathir belum diumumkan.
Mereka diberi kuasa untuk memanggil agensi kerajaan supaya memberi sesi taklimat.
Selain Daim, anggota lain CEP terdiri daripada bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ahli ekonomi PBB Jomo Kwame Sundaram, ahli perniagaan Robert Kuok dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican.
Saifuddin: Bukan perkara baru
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata, tindakan perdana menteri menghantar utusan khas ke sesebuah negara bukan perkara baru dan tidak menyalahi undang-undang.
Beliau juga menegaskan bahawa beliau telah bertemu dengan Daim sebelum dan selepas ke China.
"Dalam konteks ini Tun Daim dihantar ke China dengan terma rujukan yang sangat spesifik dan Tun Daim melaporkannya terus kepada perdana menteri.
"Ada pelbagai cara untuk berurusan dengan kawan dari negara luar.
“Kita kadang kala hantar menteri luar, kadang kala hantar menteri kewangan, menteri ekonomi.
“Jadi ia bergantung kepada situasi dan bergantung kepada keadaan," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

