Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengingatkan ahli parti agar tidak membuat pilihan ibarat "lembu" yang hanya mengikut arahan dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Sebaliknya, kata Zuraida, Ahli PKR yang bakal mengundi pada pemilihan parti itu dinasihatkan agar memilih calon berdasarkan rekod prestasi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Jelas anggota parlimen Ampang itu, ahli PKR harus memilih barisan yang mereka sudah kaji memiliki prestasi, kepimpinan, keterampilan dan perjuangan mereka.

"Ahli PKR kena melihat line up yang mereka sudah kaji track record, prestasi, kepimpinan, keterampilan, dan perjuangan mereka.

"Jadi ini yang saya nak tekankan kepada anggota parti agar buat pemilihan berdasarkan track record seseorang calon dan tidaklah membuat pilihan calon itu berdasarkan ketua macam mengembala lembu, kalau dia ke kiri semua ke kiri.

"Kita mahu pilihan dibuat secara matang,” katanya di lobi parlimen, hari ini.

Terdahulu, Zuraida diminta mengulas pengumuman Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan penyertaan pemimpin PKR lain dalam pasukan bekas anggota parlimen Pandan itu.

Zuraida menambah, beliau juga terbuka dengan mana-mana pemimpin dan pasukan yang ingin bertanding untuk menawarkan yang terbaik untuk parti.

"Ini pemilihan dalaman parti memang ada pasukan yang akan bersaing, ia bukan isu. Tak salah ada pasukan yang ingin bertanding menawarkan yang terbaik untuk parti," katanya.

Bagaimanapun, tambah Zuraida, Rafizi tidak menawarkannya untuk menyertai pasukannya.

"Dalam situasi ini Rafizi tidak tawarkan saya, tapi tak mengapa. Niat kita untuk perkukuhkan parti," katanya.

Pemilihan PKR akan berlangsung pada 24 Ogos selama sembilan minggu dan keputusan dijangka diumumkan pada November ini.