'Bagi ruang Azmin fikir keputusan bertanding PKR'
PEMILIHAN PKR | Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya memberi ruang kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat keputusan bertanding jawatan dalam pemilihan parti akan datang ini, lapor media tempatan.
"Dia (Azmin) tidak kata apa-apa pun lagi. Tunggulah, bagilah ruang dia fikir, bincang," katanya menjawab dakwaan ura-ura Azmin bakal bertanding kerusi Presiden PKR, petik laporan Sinar Harian.
Menurut laporan itu, Anwar berkata Azmin belum membuat keputusan kerusi mana yang mahu ditandingi jadi adalah lebih elok agar tidak diwujudkan sebarang spekulasi.
Pemilihan PKR akan berlangsung pada 24 Ogos selama sembilan minggu dan pengumuman keputusan dijangka pada November ini.
Sebelum ini, Azmin Ali menyatakan hanya akan menimbang sebarang keputusan berhubung pertandingan dalam pemilihan PKR selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini (4 Ogos).
Beliau yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata buat masa ini pihaknya sedang menumpukan persiapan dan kempen PRK berkenaan.
Ditanya mengenai keputusan naib presiden Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan timbalan presiden, Mohamed Azmin menegaskan mana-mana individu bergelar anggota parti berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan PKR.

