Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib nafi jumpa Jho Low di Beijing 2 tahun lalu
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 3:02 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Datuk Seri Najib Razak menafikan ada bertemu Low Taek Jho, atau Jho Low, ketika penyiasat mula menyasarkan ahli perniagaan itu berhubung skandal 1MDB.

Ketika ditanya pemberita di Parlimen berhubung dakwaan Wall Street Journal, Najib hanya menjawab sepatah: "Tidak."

Menurut Wall Street Journal yang memetik seorang bekas pegawai Malaysia yang tidak dinamakan, Najib bertemu Jho Low dalam forum One Belt One Road (OBOR) di Beijing, China, pada Mei 2017.

Dua bulan sebelum itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat dilaporkan sedang menyediakan pendakwaan jenayah terhadap Jho Low.

Pegawai itu, yang menurut WSJ berkhidmat di pejabat perdana menteri ketika itu, turut mendakwa Najib sering ke China untuk berjumpa Jho Low.

Ketika pertemuan itu didakwa berlaku, laporan tentang tuduhan penyelewengan dana 1MDB oleh Jho Low sudah pun mendapat liputan meluas, terutama berdasarkan pemfailan mahkamah yang dibuat Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

DOJ antara lain mendakwa Jho Low menggunakan wang yang sepatutnya untuk 1MDB bagi membeli barang kemas dan kapal pesiar mewah.

Sementara itu, Singapura juga telah membuat permohonan kepada Interpol agar mengeluarkan notis merah kepada Jho Low pada April 2016.

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini Jun lalu, Najib berkata beliau ada bertanya Jhow Low berhubung dakwaan terhadapnya tetapi ia sudah lama.

“Ya, saya ada (berhubungan dengan dia) dan dia kata bukan untuknya. Katanya dia bertindak bagi pihak istana Timur Tengah. Itu jawapannya,” katanya.

Jho Low kini berada di lokasi yang tidak diketahui. Polis sebelum ini mengesannya di Macau, namun beliau sempat meninggalkan wilayah itu sebelum ditangkap.

Susulan itu, dia kini dilaporkan berada di China.

Lihat Komen
ADS