Sasaran 35 peratus pekerja mahir menjelang 2020 - Mahfuz
Kementerian Sumber Manusia menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir tempatan kepada 35 peratus menjelang 2020 berbanding 27 peratus sekarang.
Timbalan Menterinya Datuk Mahfuz Omar berkata langkah itu perlu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar pada masa akan datang.
"... negara kita sekarang ini amat memerlukan tenaga kerja mahir daripada anak tempatan untuk menyumbang tenaga mereka bagi meningkatkan keupayaan industri negara… itu matlamat kementerian,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Projek Inovasi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dan merasmikan Pusat Latihan Refrigeran Mudah Bakar pertama di Asia, di Kepala Batas hari ini.
Menyifatkan ILP Kepala Batas antara pusat pengajian yang banyak melahirkan tenaga mahir dalam industri Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (HVAC), Mahfuz optimis bahawa kemahiran yang diperoleh pelajar di institut itu dapat digilap untuk menjadi golongan usahawan yang berjaya.
“Kira-kira 80 peratus tenaga mahir dalam industri penyejukbekuan dan penyamanan udara rata-ratanya terdiri daripada juruteknik yang merupakan anak didik ILP di sini,” katanya.
Mahfuz berkata peningkatan tenaga mahir tidak akan dapat dicapai sekiranya masyarakat tidak menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu sebagai indikator dalam mengasah bakat dan kemahiran pelajar.
Bidang itu mampu menjamin masa depan yang cerah mengikut kehendak pasaran tenaga kerja pada masa kini, katanya.
Sementara itu Pengarah ILP Kepala Batas Zamzuri Hassan berkata penubuhan Pusat Latihan Refrigeran Mudah Bakar yang pertama di Asia bagi tujuan latihan industri dalam dan luar negara itu adalah hasil usaha berterusan antara warga kerja ILP dan peserta.
Kursus Refrigeran Mudah Bakar itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi gas yang mudah digunakan dalam sistem pendingin hawa serta kaedah pengendalian dan keselamatan udara yang mematuhi prosedur dan teknik kemahiran yang ditetapkan.
Kursus yang ditawarkan terdiri daripada empat kursus teknikal dan 13 program kemahiran yang membawa kepada kelayakan peserta sebagai Personel Bertauliah dan Terlatih Pengendalian Refrigeran Mudah Bakar.
- Bernama


确定要删除留言?
此后将无法恢复