Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Walau tak puas hati, mendiang tetap bantu parti'

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua membangkitkan sikap bekas ADUN Balakong mendiang Eddie Ng Tien Chee yang menurutnya sentiasa meletakkan kepentingan parti mendahului dirinya.

Ia termasuk ketika berlangsungnya satu PRK di mana mendiang tetap membantu kempen walaupun tidak setuju dengan pemilihan calon oleh pimpinan parti.

Pua berkata demikian dalam majlis mengenang Ng di Cheras malam ini, di tengah-tengah rasa tidak puas hati oleh akar umbi DAP terhadap berita bakal penggantinya di DUN Balakong.

Mengimbas kembali, Pua berkata beliau pernah menghubungi Ng untuk memintanya membantu kempen calon tersebut, mendiang kemudian berkata kurang senang dengan pemilihan calon tetapi tetap akan memberi bantuan.

"Apa maknanya? Maknanya tidak kira apa pandangannya terhadap calon pada masa itu, dia kata, 'jika parti benar-benar mahu saya pergi (kempen), saya akan bersedia. Berikan tarikh, dan saya akan tempah tiket kapal terbang dan bawa pasukan saya untuk menyumbang kepada kemenangan parti.'

"Inilah sebabnya kita mengagumi semangat Ng. Dia tidak fikir tentang diri dan perasaannya, tetapi parti lebih penting; semangat setiakawan yang perlu ada, kita perlu menyumbang kepada parti.

"Semangatnya, kecekapannya, sumbangannya melangkaui ramai pemimpin parti termasuk saya. Itulah sebabnya mengapa dia bukan saja ADUN contoh, tetapi pemimpin contoh," katanya (gambar) lagi.

Itu adalah antara kisah Ng yang dikongsi Pua dalam ucapannya. Satu lagi kisah adalah tentang usaha mendiang membantu penduduk di DUN Balakong dalam berdepan krisis air pada 2014 dengan memobilisasi sukarelawan dan lori tangki air.

Ng merupakan ADUN Kajang selama tiga penggal sebelum menjadi ADUN Balakong pada 2013. Beliau maut dalam kemalangan di KM11.7 Lebuh Raya Cheras - Kajang pada awal pagi 20 Julai lalu.

Mendiang meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Ogos untuk penamaan calon PRK Balakong dan 8 September untuk hari mengundi.

Bekas wartawan penyiaran Astro AEC Yunna Tan dilaporkan antara nama yang mungkin dipilih sebagai calon DAP.

Ia mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan akar umbi parti itu yang mempersoalkan rasional di sebalik meletakkan "orang luar" dalam PRK itu.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS