Pertemuan antara Malaysia dan Singapura berhubung projek Keretapi Laju (HSR) akan diadakan dalam bulan ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.

"Perjumpaan rasmi akan diadakan dalam bulan Ogos.

"Semalam saya ke sana (Singapura) untuk melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya mengambil kesempatan untuk berjumpa beberapa pegawai kanan di Singapura untuk berbincang tentang HSR. Perjumpaan itu sangat positif.

"Saya akan keluarkan kenyataan media (tentang perkara ini)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Semalam, Azmin melalui kenyataan di Twitter berkata beliau sedang berada di Singapura untuk lawatan kerja.

Azmin juga memaklumkan perjumpaannya dengan Muhyiddin yang baru lepas menjalani pembedahan di negara itu.

Sejak bulan lalu, Singapura menuntut keputusan rasmi Putrajaya berhubung projek HSR.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Singapura seharusnya sudah tahu keputusan kerajaan Malaysia berhubung projek berkenaan.

HSR merupakan antara projek yang dibatalkan selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua, dengan menyifatkan projek berkenaan menelan kos besar dan tidak memberi pulangan tinggi.

HSR sebelum ini dijangka menelan kos RM110 bilion.

[Baca berita penuh]