Umno: Kenyataan IRI dedah kegiatan 'khianat' HARAPAN
Umno menganggap kenyataan Presiden International Republican Institute (IRI) mendakwa usaha pertubuhannya untuk 'mengukuhkan' parti pembangkang di Malaysia sudah berjalan sejak 2002 itu sebagai suatu yang amat serius.
Ketua Penerangannya Datuk Shamsul Anuar Nasarah mendakwa kenyataan Daniel Twining dalam forum anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) pada 12 Julai lalu, mendedahkan kegiatan 'khianat' pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama DAP terhadap kerajaan BN dahulu.
"Pendedahan Daniel Twining... amat serius yang akhirnya mendedahkan kegiatan 'khianat' kerajaan HARAPAN terutama DAP dan konco-konco mereka selama ini terhadap kerajaan terdahulu.
"Menjemput dan melibatkan pihak luar untuk campur tangan adalah tidak wajar semasa sekali," kata Shamsul dalam suatu kenyataan hari ini.
Selain mencabar pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka, Shamsul juga mengatakan 'tangisan buaya' Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung Umno 2003 hanya sandiwara kerana niat perdana menteri memusnahkan Umno didakwa sudah wujud sejak menjalin kerjasama dengan CSIS.
'Sandiwara, wujud kerjasama CSIS sejak 2002'
"Namun CSIS yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2002, cukup bangga selepas berjaya berkomplot dengan pembangkang bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional pada PRU14.
"Dr Mahathir juga perlu menjelaskan bahawa 'crocodile tears' ketika mengumumkan mahu meletak jawatan pada Perhimpunan Agung Umno 2003, sebenarnya adalah sandiwara kerana niat memusnahkan parti sudah wujud sejak kerjasamanya dengan CSIS," kata ketua penerangan Umno itu.
Beliau berkata perlu diadakan suatu siasatan pihak berkecuali dan menggesa Majlis Raja-Raja mengambil pendirian secepat mungkin dalam perkara ini.
"Dengan ini, kami menggesa Majlis Raja-Raja agar mengambil pendirian di dalam perkara ini secepat mungkin, dan bertindak bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi sebuah lagi negara Islam seperti Yemen, Libya, Iraq dan Syria," katanya.
Beberapa tahun mutakhir, IRI dituduh melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia.
Isu IRI ini timbul di tengah-tengah kontroversi surat CIA, yang mana pentadbiran BN sebelum ini didakwa meminta pertolongan luar.
Berkenaan surat bertarikh empat hari sebelum PRU ke-14 itu, ada pihak yang malah menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan khianat.
Pakatan Harapan berkata hubungan dengan IRI terhad kepada latihan kepimpinan sahaja dan ia turut melibatkan parti Gerakan juga (ketika masih komponen BN).
Daniel Twining bagaimanapun berkata IRI tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia.
"Ia reaksi kepada korupsi, nepotisme dan kronisme. Ia tiada kaitan dengan kita. Ia (suasana) klimaks yang logik terhadap salah guna kuasa di negara Asia Tenggara yang kaya itu," kata Twinning.

